Memaparkan catatan dengan label SUMBER MALAYSIAN INSIDER. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SUMBER MALAYSIAN INSIDER. Papar semua catatan

Khamis, 5 Januari 2012

POLIS TIDAK TUNJUKKAN BUKTI PENUH INSIDEN DI UPSI


Safwan Anang (dalam kerusi ronda) keluar dari balai polis dengan peguam-nya selepas membuat report polis. — Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 5 Dis — Polis tidak menunjukkan bukti penuh insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tahun baru lalu, menurut peguam yang mewakili Muhammad Safwan Anang, pemimpin mahasiswa yang mengalami kecederaan dalam insiden pertempuran polis dan mahasiswa tersebut.

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) yang mewakili Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu mendakwa rakaman yang disiarkan polis di kaca televisyen adalah rakaman sebelum insiden pertempuran, dan pihak berkuasa berkenaan tidak menyiarkan rakaman penuh insiden tersebut.

“Kami dapati pihak polis tidak menunjukkan video penuh dalam kejadian di UPSI tempoh hari. Apa yang ditayangkan adalah video sebelum insiden tersebut, mereka tidak mengeluarkan rakaman semasa kejadian itu berlaku.

“Sehubungan itu, kami akan mengemukakan video tersebut yang mempunyai bukti kekasaran pihak berkuasa terhadap mahasiswa,” tegasnya di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi selepas Safwan selesai membuat laporan polis atas dakwaan pihak polis menggunakan kekasaran terhadapnya.

Dalam laporan polis yang dibuatnya, Safwan mendakwa dia telah ditumbuk di bahagian kiri mukanya, dan disepak menggunakan lutut yang mengakibatkan kecederaan di bibir, dan patah beberapa batang gigi serta turut tidak sedarkan diri selama lebih kurang sejam dalam insiden tersebut.

“Ketika demonstrasi itu, anggota polis beberapa orang polis yang berpakaian preman yang memakai vest polis menyerbu kami dan menarik saya ke arah lain secara paksa dan kasar.

“Saya telah ditumbuk dengan kuat di bahagian muka kiri yang mana hasil daripada tumbukan tersebut, bibir sebelah kiri dan mulut saya pecah dan berdarah.

“Kemudiannya saya ditundukkan dan di dihentak menggunakan lutut di bahagian rusuk kanan, akibat daripada itu, saya mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri,” jelas Safwan yang berkerusi roda ketika hadir di balai polis.

Menurutnya lagi, dia turut cam anggota polis yang telah memukulnya melalui rakaman video yang berada di dalam simpanannya.

Kenyataan Safwan itu turut disokong melalui laporan kesihatan yang dikeluarkan doktor yang merawatnya.

Dalam kejadian di UPSI malam tahun baru itu, seramai 60 mahasiswa daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) telah melakukan demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kumpulan terbabit telah bertempur dengan anggota keselamatan selepas dipercayai ingkar arahan bersurai dan hasil daripada kejadian tersebut, 17 daripada telah ditahan dan dua termasuk Safwan mengalami kecederaan.

Isnin, 12 Disember 2011

SULTAN KEDAH LAFAZ SUMPAH YANG DIPERTUAN AGONG KE-14 PAGI INI


Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun disambut pada istiadat keberangkatan tiba baginda di medan bangunan Parlimen.
SEPANG, 13 Dis — Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.

Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Oktober lepas sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini, lapor Bernama Online.

Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Ketibaan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.

Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik “Hormat Diraja” oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.

Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik Hormat Diraja dan lagu Negara Ku.

Baginda berdua kemudian menerima menghadap menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan sebelum berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong

Ahad, 11 Disember 2011

SAIFUDDIN KECEWA

KUALA LUMPUR, 11 Dis — Datuk Saifuddin Abdullah dukacita kerana Universiti Malaya (UM) tidak memberi kelulusan mengadakan debat berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kelmarin, yang berakhir dengan kekecohan ketika pengurusan didakwa cuba menghentikan program itu.

Sambil menjelaskan siasatan menunjukkan debat itu sebenarnya tidak dibatalkan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, program tersebut telah cuba dihalang oleh pentadbir UM daripada diteruskan dan perundingan diadakan membabitkan mahasiswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

“Sebaik perundingan selesai, debat juga selesai. Bermakna, debat tidak batal.

“Tapi saya dukacita dengan apa yang berlaku iaitu kelulusan tak diberi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin (gambar) yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, sebenarnya mahasiswa ada memohon kebenaran Fakulti Undang-undang bagi menganjurkan forum berkenaan.

“Saya telah menghubungi kedua-dua pihak iaitu penganjur dan (Timbalan Naib Canselor) TNC HEP,” katanya.

“Tapi ada kurang komunikasi antara fakulti dan HEP. Bagi saya ini kerenah birokrasi yang tak patut berlaku,” kata Saifuddin sambil menambah, “saya junjung peraturan, tapi pentadbir perlu guna budi bicara.”

“Patut memudahkan, bukan mengecewakan. Saya harap kerenah birokrasi begini ditamatkan,” katanya lagi.

Semalam, TNC HEP UM Datuk Rohana Yusuf memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya terpaksa campur tangan dengan meminta debat di Fakulti Undang-undang universiti berkenaan dihentikan kerana ia diadakan tanpa kebenaran.

Rohana berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menyekat kegiatan pelajar, tetapi seharusnya program berkenan diadakan menggunakan saluran yang betul.

“Mereka langsung tidak membuat permohonan untuk menganjurkan debat malam tadi, dekan Fakulti Undang-undang sendiri tidak tahu ada penganjuran program tersebut sedangkan ia dijalankan di dewan fakulti itu,” jelasnya.

“Universiti tidak halang pelajar nak buat aktiviti, tetapi gunakan saluran yang betul, HEP hanya menjalankan tugas sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, penganjur seharusnya peka terhadap peraturan kampus, lebih-lebih lagi program debat turut melibatkan penyertaan orang luar, bukannya pelajar UM sahaja.

“Pihak keselamatan sendiri tidak diberitahu tentang penganjuran debat berkenaan sedangkan ia melibatkan orang luar UM,” tegasnya.

Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) melahirkan kekecewaannya terhadap pentadbiran UM kerana program itu terpaksa dibatalkan ketika sedang berlangsung.

Setiausaha Agungnya Khairul Naim berasa terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch” ketika debat antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sedang rancak berjalan pada pusingan kedua.

Menurut Khairul, beberapa pengawal keselamatan dan “special branch” telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya aktiviti berkenaan dihentikan dengan segera.

Sabtu, 10 Disember 2011

PENGARAH BESAR FELDA DZULKIFLI DIARAH CUTI LAPAN BULAN

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Felda yang menjadi perhatian sejak beberapa bulan lalu disebabkan isu kepimpinan dan penyenaraian, dijangka berhadapan dengan kontroversi baru ekoran arahan agar Pengarah Besarnya Datuk Dzulkifli Abd Wahab bercuti selama lapan bulan.

Dzulkifli menerima surat berkenaan keputusan itu petang semalam.

The Malaysian Insider difahamkan arahan itu dikeluarkan di sebalik dakwaan bahawa Dzulkifli, yang dilantik ke jawatan itu dua tahun lalu, tidak sehaluan dengan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dalam banyak perkara kontroversi, yang mendapat protes peneroka.

Antara perkara itu termasuklah proses penyenaraian Felda Global Ventures yang akan dilaksanakan tahun depan, isu perjanjian pajakan tanah dan kepimpinan Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) sendiri.

Beberapa sumber rapat dengan Felda mengesahkan perkara tersebut sambil mendakwa ia memang mengejutkan banyak pihak.

Kata mereka, perkembangan itu akan merumitkan lagi dilema yang menyelubungi para peneroka.

“Saya dimaklumkan malam tadi bahawa Datuk Dzulkifli telah diarah bercuti selama lapan bulan, Datuk Dzulkifli terima surat petang semalam,” kata sumber itu.

“Saya juga ada bercakap dengan Datuk Dzulkifli, saya pun dapat maklumat yang sama,” kata satu lagi sumber yang percaya ia satu langkah awal mahu menyingkirkan beliau dari Felda selain menyisihkan peranannya dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings.

Penyenaraian itu akan menyebabkan 360,000 hektar tanah milik Felda Plantations dipajakkan. Proses itu juga akan melibatkan peranan KPF.

Bagaimanapun Dzulkifli yang dihubungi pagi ini enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Tiada komen,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau memberi jawapan yang sama apabila ditanya mengenai tindakan susulannya ekoran perkembangan tersebut.

“Saya tidak mahu komen,” katanya lagi.

Dzulkifli yang telah 30 tahun berkhidmat di Felda sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Besar (Perusahaan Perladangan dan Pembangunan Kebun) agensi pusat itu.

Sumber juga memberitahu, Isa yang mengetuai Felda sejak awal tahun ini telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar campur tangan dalam ‘kontroversi’ semasa agensi berkenaan dan permintaan itu telah diluluskan.

“Maklumat yang saya terima menunjukkan surat mengenai arahan bercuti dikeluarkan menerusi setiausaha sulit kanan perdana menteri, sebab Felda terletak di bawah penyeliaan Jabatan Perdana Menteri,” kata sumber itu dan menambah bahawa surat arahan itu walaupun dikeluarkan semalam tetapi bertarikh 21 November lalu.

“Bermakna tarikh kuat kuasa surat telah dipercepatkan, proses penyenaraian akan dijalankan semasa beliau bercuti” katanya lagi.

Proses penyenaraian di Bursa Saham dijadual akan dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Isu terbaru ini muncul kira-kira dua minggu selepas Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman meminta Isa memohon maaf atas alasan telah menghina beliau pada satu majlis terbuka.

Isa menegaskan beliau tidak akan meminta maaf.

Shamsudin, 59, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka Wilayah Johor Bahru, merupakan satu-satunya wakil peneroka yang berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Konfrontasi antara peneroka dengan Pengerusi Felda bermula apabila Isa didakwa dilantik secara ‘kontroversi’ menjadi pengerusi KPF dengan mengetepikan Zulkifli dan perkembangan itu menyebabkan kepimpinan Felda terpecah dua kepada dua kelompok.

Sebelum ini, Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) melancarkan kempen mendakwa Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya dalam koperasi adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai pengerusi koperasi hanya bertaraf kontrak.

Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda yang berstatus tetap.

Anak telah membawa kes berkenaan ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Isnin, 7 November 2011

ANGKATAN AMANAH MERDEKA (AMANAH): PANGGIL PRU-13 SELEPAS PEMBAHARUAN PILIHANRAYA

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah mahu pilihan raya umum ke-13 hanya diadakan selepas pembaharuan pilihan raya yang dijanjikan Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan.

Bercakap pada sidang media hari ini, Tengku Razaleigh (gambar) yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata pentadbiran Najib perlu melaksanakan cadangan pembaharuan pilihan raya selepas jawatankuasa pilihan khas Parlimen selesai menjalankan kajian.

“Kita alu-alukan langkah kerajaan bawa perkara ini ke Parlimen, kita harap kerajaan dalam laksanakan cadangan pilihan raya selepas jawatankuasa ini selesai jalankan kajian. Kemudian baru panggil pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Timbalan Presiden Amanah Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata Putrajaya masih mempunyai masa untuk melakukan pembaharuan pilihan raya memandangkan mandat hanya akan berakhir April 2013.

Katanya, sekiranya pembaharuan pilihan raya tidak dilakukan penubuhan jawatankuasa khas itu disifatkan beliau sebagai “main-main dan macam drama.”

“Kami sebenarnya mahukan suruhanjaya diraja tapi jawatankuasa pilihan khas ini tiada masalah, biar mereka siapkan tugas kerana semua wakil parti politik ada di situ.

“Kita masih ada masa, tak perlu nak tergesa-gesa, kalau buat pilihan raya umum ke-13 awal nampak macam ia main-main dan macam drama. Bahkan orang BN (Barisan Nasional) juga mahu pilihan raya umum ke-13 diadakan selepas jawatankuasa selesai jalankan tugas dan pembaharuan dilakukan,” katanya

Khamis, 3 November 2011










ANWAR RAMAL 'KEBANGKITAN MALAYSIA' - PAKATAN GANTI BN PRU KE-13

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan satu “kebangkitan Malaysia” pada pilihan raya umum ke-13 sambil dengan yakin memberitahu agensi berita Amerika Bloomberg, Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil alih Putrajaya daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).

“Melihat pada kadar kami sedang bergerak sekarang, kami akan mengambil alih kerajaan,” kata beliau dalam satu temu bual dipetik agensi berita itu hari ini.

Ketua Pembangkang itu yang kini berhadapan dengan kemungkinan sabitan kesalahan buat kali kedua dalam kerjaya politiknya merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sebagai tanda sokongan besar kepada perikatan tersebut.

Kempen itu menarik ribuan hadirin di ibu negara di sebalik tindakan keras diambil pihak kerajaaan. Pihak polis juga menahan lebih 1,500 orang ketika itu.

Susulan perhimpunan itu, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa pembaharuan politik termasuk pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi mengkaji sistem pilihan raya awal Ogos lalu.

Sebulan kemudian, Najib mengumumkan pemansuhan beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang lain.

Tambah Anwar, dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penunjuk perasaan ketika perhimpunan Bersih 2.0, meskipun beliau disabitkan kesalahan pembangkang akan memperoleh keputusan yang lebih baik kali ini.

Sehubungan itu kata beliau, keputusan kes melibatkan dirinya merupakan satu rumusan yang “sudah pun pasti.”

Pemerintahan kerajaan BN lebih lima dekad, katanya, akan berakhir dalam pilihan raya umum ke-13.

Anwar memberitahu Bloomberg bahawa PR akan memperoleh lebih 40 peratus undi di kubu-kubu kuat BN, Johor dan Pahang, memperoleh balik majoriti di lima negeri yang ia menang pada 2008 selain mencatatkan kedudukan lebih baik di Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Trend ke arah kebebasan dan demokrasi tidak boleh dielak. Kita sepatutnya boleh melakukan lebih baik (kali ini),” kata Anwar yang juga Ketua Umum PR.

Bloomberg membangkitkan bahawa tiada sebarang peristiwa yang pemimpin Asia Tenggara digulingkan daripada kuasa sedangkan gerakan sivil semakin kuat di rantau ini.

Anwar menjawab: “Ketika negara-negara Timur Tengah berhadapan dengan Kebangkitan Arab, negara jiran Singapura menyaksikan rekod peralihan undi kepada pembangkang pada Mei (lalu), dan Myanmar membebaskan beberapa pesaing politik dari penjara bulan lalu.”

“Bila akan ada Kebangkitan Malaysia? (Ketika) pilihan raya umum akan datang,” kata Anwar.

“Harap-harap, kami akan melakukan (giliran) kami menerusi proses demoktratik yang aman,” katanya lagi.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998 dan kemudian menghadapi tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

Beliau dibebaskan pada September 2004 dan mengetuai kerjasama PR pada pilihan raya umum Mac 2008 dan memperoleh balik kerusi Parlimen Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil pada tahun yang sama.

Rabu, 21 September 2011


PAKATAN SETUJU SERTAI PENEL KHAS PARLIMEN

September 21, 2011

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk menyertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen pembaharuan pilihan raya walaupun sebelum ini mendesak pentadbiran Najib memberi jaminan pilihan raya umum ke-13 diadakan dengan melaksanakan cadangan reformasi panel itu.

Menurut Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar), keputusan itu dibuat dengan mengambil kira banyak faktor termasuk untuk memastikan jawatankuasa itu berfungsi dengan baik dan melaksanakan tugas-tugasnya.

“Sehingga hari ini kita belum diberi maklumat tentang jawatankuasa ini bagaimana pun kita bersetuju menyertainya kerana kita akan minta wakil-wakil kita membawa mandat rakyat yang dicetuskan Bersih 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil).

“Dan, pendekatan ini kita akan tuntut laksanakan tuntutan Bersih 2.0, reformasi secara keseluruhan proses pilihan raya dan kita akan pastikan jawatankuasa ini tidak menjadi helah dan kita akan pastikan pilihan raya diadakan selepas reformasi dilakukan,” katanya pada sidang media di sini.

Mengenai wakil rakyat yang akan menyertai jawatankuasa itu, Anwar berkata ia akan diputuskan secara bersama dalam parti perikatan itu.

“Kita buat penyertaan terbuka untuk sertainya dengan mandat yang dikemukakan rakyat, Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat selama ini.

“(Keanggotaan) jawatankuasa ini akan diputuskan oleh PAS, PKR dan DAP, kemudian kita akan putuskan bersama... kita juga akan beri mandat kepada wakil kita untuk sertai dan lihat jawatankuasa ini,” katanya.

Beliau turut menafikan Pakatan Rakyat telah mengubah pendirian apabila memutuskan untuk menyertai jawatankuasa itu.

“Kita tidak berubah, kita lahirkan keberatan kerana kita jelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus bertindak sekarang, mengapa nak berdalih dan berlengah, kerajaan kata bersungguh-sungguh untuk lihat dan kaji... kita beri ruang dan kita akan cuba beri kerjasama,” katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang menyifatkan keputusan untuk menyertai jawatankuasa itu membuktikan Pakatan Rakyat bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“Keputusan sertai jawatankuasa ini menunjukan kita sedia bekerjasama dengan BN supaya kita mempunyai sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

“Kita juga mahu satu jaminan reformasi dilakukan dalam sistem pilihan raya dan ini harus diberi perhatian oleh jawatankuasa ini,” katanya.

Ahad, 1 Mei 2011



VIDEO SEKS: HISHAMUDDIN TETAP MAHU SAMAN ANWAR
KLUANG, 1 Mei — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau akan meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkannya dengan video seks yang pelakunya mirip Ketua Pembangkang itu.
Beliau (gambar) berkata, dakwaan Anwar itu perlu dijawab di mahkamah supaya masyarakat tahu kedudukan sebenar isu terbabit.
“Kita bawa ke mahkamah kerana kalau tidak, apa yang disebar melalui luar dan internet orang akan percaya kerana kita tidak jawab,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.
Naib Presiden Umno ini berkata, tindakan Ketua Umum PKR mengaitkan beliau dengan video seks terbabit semata-mata untuk mengalihkan perhatian masyarakat.
“Itu strategi... dia (Anwar) tidak boleh jawab soalan wartawan, dia alih pandangan kepada orang lain. Kita tidak berdosa, kenapa hendak takut,” katanya.
Akhir Mac lalu, Hishammudin melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham bagi mewakili beliau dalam memfailkan saman terhadap Anwar.
Anwar dalam laporan beberapa akhbar sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video kononnya aksi beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara 21 Mac lalu.
Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan pembabitan mereka dalam rakaman berkenaan.








Sabtu, 30 April 2011






NIK AZIZ: GESAAN UMNO MINTA PAS KELUAR PAKATAN ISU LAMA
KOTA BARU, 30 April – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang konsisten menolak idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik Umno-PAS menegaskan, pihaknya tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat sebagaimana diminta oleh Datuk Seri Najib Razak.
Najib menyentuh isu berkenaan dua kali di Kuala Terengganu sempena lawatan kerja ke negeri itu hari ini.
Nik Aziz (gambar) yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pandangan dilontarkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno itu adalah satu isu lama.
“Ini (meninggalkan Pakatan) adalah isu lama,” kata Nik Aziz di sini hari ini.
Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam pakatan pembangkang, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.



PERSOALANNYA...APAKAH PAS SELAMA INI UNTUNG JIKA KERAJAAN BN MEMERINTAH? DIFINASI "MELAYU" IALAH UMNO, YANG MENYOKONG PARTI LAIN BUKAN DIIKTIRAF MELAYU SEBAGAIMANA YANG DIAMALKAN OLEH BN SELAMA INI. HAK GOLONGAN MELAYU YANG TIDAK MENYOKONG UMNO TERUS DIPINGGIRKAN... APAKAH INI DINAMAKAN UNTUNG?
Najib a pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, siknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.
“Kita lihat poster di sini (Terengganu) “PAS ganti Umno”, realitinya “DAP ganti PAS”, di Sar (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP,” kata beliau.
“PAS, cukuplah dalam pakatan pembangkang, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari pakatan pembangkang,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

KENAPA NAJIB SIBUK SANGAT MEMPELAWA PAS MASUK BN DAN MEMINTA PAS KELUAR PAKATAN. NAJIB...TOLONG JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG LAIN, SELESAIKAN KEMELUT DALAMAN UMNO/BN TERLEBIH DAHULU.


Terdahulu, Najib yang juga Presiden Umno meneruskan usahanya dengan hari ini sekali lagi mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.


MEMANG WAJAR DAP TIDAK MEMPERJUANGKAN ISLAM KERANA PIMPINAN DAP BUKANNYA ORANG ISLAM? APA YANG DIPERSOALKAN ..UMNO SENDIRI TIDAK MEMPERJUANGKAN ISLAM, MALAH MENINDAS DAN MEMFITNAH SESAMA ORANG ISLAM. APAKAH MENIDAKKAN HAK DAN MERAMPAS "ROYALTI MINYAK" DIKELANTAN ITU SIKAP SEORANG ISLAM ???



“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?
“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.


BIASANYA, KALAU ORANG YANG HAMPIR LEMAS, DAPAT BERPAUT DENGAN SEBILAH MANCIS PUN CUKUP BERMAKNA BAGINYA, WALAUPUN SELAMA INI SEBILAH MANCIS ITU TIDAK BERGUNA BAGINYA... ITULAH LUMRAH MANUSIA!!!








PAS TOLAK PELAWAAN NAJIB, UMNO-BN TERDESAK
Oleh G Manimaran
KUALA LUMPUR, 30 April – Sambil mengucapkan “terima kasih” kepada Datuk Seri Najib Razak, PAS dalam reaksi segera menolak sama sekali pelawaan terbaru Perdana Menteri agar parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN).
“Terima kasihlah atas jemputan, kami akan tetap setia dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan meninggalkan semangat kesetiakawanan yang sudah dibentuk dengan PKR dan DAP,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.
Najib yang juga Presiden Umno meneruskan usahanya dengan hari ini sekali lagi mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.
“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?
“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia, Kuala Terengganu pagi tadi.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, jemputan dibuat Najib di Kuala Terengganu adalah tindakan “terdesak” selepas BN terus gagal memperoleh sokongan masyarakat Cina termasuk ketika pilihan raya negei Sarawak baru-baru ini manakala gagasan 1 Malaysia digerakkan pentadbiran beliau tidak mendapat sambutan.
“Saya fikir pelawaan ini satu tindakan terdesak kepimpinan Najib. Saya tidak terkejut dengan pelawaan ini,” kata Salahuddin.
Kata beliau, kepimpinan Umno-BN akan menggunakan isu perkauman apabila setiap kali berhadapan dengan persekitaran terdesak sebagaimana dialami sekarang.
“Ini bukan kali pertama pelawaan macam ini dibuat... PAS tidak akan terperangkap,” katanya lagi.
Salauddin juga mendakwa pelawaan itu sebagai “terdesak” apabila mengatakan PAS harus meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah memperjuangkan Islam.
Kata beliau, soal PAS harus keluar Pakatan Rakyat hanya kerana kononnya DAP tidak pernah memperjuangkan Islam tidak timbul sama sekali.
Malah kata beliau, DAP juga sudah memberi jaminan bahawa ia akan menghormati perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Misalnya kata beliau, Islam adalah agama rasmi negara dan peruntukan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan Raja-raja Melayu adalah ketua.
“Kita ada Perlembagaan, agama rasmi adalah Islam dengan raja-raja adalah ketua... jadi tak timbul soal ini,” katanya sambil menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh wakil DAP juga “tidak pernah mengabaikan soal berkaitan dengan Islam... tiada apa-apa masalah.”
“Bagi kami ini bukan satu isu, dan soal ini tidak berbangkit sama sekali,” kata Salahuddin yang turut menyifatkan pelawaan itu sebagai “madu manis yang berbisa.”
Salahuddin juga berkata, beliau yakin yang prinsip dibawa DAP itu akan terus diamalkan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya kelak.
Pelawaan BN-Umno hari ini bukan sesuatu yang baru khususnya sejak selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008.
Ini termasuklah satu pertemuan membabitkan empat pemimpin kanan - masing-masing dua dari Umno dan PAS sempena majlis santapan bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun menjelaskan isu di sebalik pertemuan 24 Disember itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Januari lalu berkata, PAS telah mengulangi jaminan kepada rakan-rakannya dalam perikatan itu parti Islam itu tiada rancangan untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno.
Anwar memberitahu, Hadi telah memberi penjelasan mengenai objektif pertemuan di Istana Terengganu.
“Kami berpuas hati dengan penjelasan. Sebagaimana dikatakan oleh (Mursyidul Am PAS Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), PAS komited untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.
“Tidak perlu untuk kita membangkitkan isu ini lagi atau meragui mereka,” kata beliau.
Bagaimanapun seminggu sebelum itu, Najib mengambil langkah untuk tidak mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin 24 Disember lalu, yang dihadiri atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Nik Aziz, yang tegas dengan pendirian menolak idea kerajaan campuran antara PAS-Umno, juga hadir pada pertemuan itu.
Menteri Besar Kelantan itu telah berulang kali menekankan bahawa PAS tidak akan kembali menjalin kerjasama politik dengan Umno atas alasan telah dikhianati pada akhir 1970-an.
PAS pernah menyertai BN pada 1974 atas jemputan perdana menteri ketika itu Tun Abdul Razak, yang juga bapa kepada Najib.
PAS membentuk kerjasama dengan DAP dan PKR untuk mewujudkan perikatan PR pada April 2008.
Justeru PAS mengetuai kerajaan negeri Kelantan dan Kedah sekarang, Pulau Pinang pula wakil dari DAP manakala Selangor pula pemimpin PKR.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, partinya akan kekal bersama Pakatan Rakyat bagi memastikan proses pembentukan sistem dua parti berjalan dengan baik di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Najib sebagai kenyataan yang tidak sihat untuk perkembangan politik di negara ini.
“Suka saya tegaskan sekali lagi, PAS akan tetap komited bersama dengan Pakatan Rakyat bagi memastikan proses pembentukan sistem dua parti berkembang dengan baik di negara ini demi kepentingan masa depan Malaysia,” kata Mustafa dalam kenyataannya hari ini.
Bagi Mustafa, kenyataan Najib hanya kenyataan politik.
Menurut Mustafa, mempunyai orang Melayu sepenuhnya di pihak kerajaan manakala pembangkang pula Cina adalah satu ciri-ciri kemusnahan kepada negara yang tercinta ini.
“Jadi PAS tidak akan membiarkan dirinya ke arah itu,” tegas beliau.

Jumaat, 29 April 2011




ESKAY BUAT SUMPAH LAKNAT DENGAN PAKAIAN KALIS PELURU
Shazryl Eskay Abdullah (tengah) melakukan sumpah laknat berhubung isu video seks dengan ditemani Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim (kanan). — Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 29 April — Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan sumpah laknat berhubung isu video seks — di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul sekitar 4 petang ini — selepas dibatalkan dua jam sebelum itu ekoran kekecohan.
“Datuk T” itu menyempurnakan niatnya dengan mengenakan baju kalis peluru kira-kira 4.15 petang.
Turut hadir dua lagi “Datuk T”, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Dua rakannya itu juga memakai baju kalis peluru, dipercayai bimbang diserang ekoran kekecohan selepas solat Jumaat tadi.
Sebaik sahaja berada dalam ruang solat, ketiga-tiga “Datuk T” menunaikan solat sunat sebelum melakukan sumpah laknat.
Mereka yang turut memakai baju kalis peluru, dipercayai bimbang diserang penyokong Pakatan Rakyat yang turut berada dalam upacara itu tiba di Masjid Amru al-As pada pukul 4.10 petang sebelum meninggalkan masjid kira-kira 4.25 petang, sebaik sahaja upacara itu selesai.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak memberikan komen ekoran nasihat polis yang meminta mereka beredar.
Sumpah yang dibacakan Shazryl berbunyi:

Suasana ketika mengangkat sumpah laknat oleh Shazryl Eskay Abdullah di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul petang tadi. — Foto oleh Choo Choy May“A’uzubillahi minal syaitanirrajim. Bismillahirahma nirrahim (diucap tiga kali), Wallahi, Wabillahi, Watallah. Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut: ‘A’uzubillahi minal syaitanirrajim, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut’.”
“Sekiranya aku berlaku fitnah maka Allah akan melaknat akanku,”
kata Shazryl ketika melafazkan sumpah laknat itu dengan memegang al-Quran.Bagaimanapun proses tersebut sedikit terganggung dengan kehadiran seorang individu dipercayai penyokong Pakatan Rakyat yang menyamar sebagai imam masjid.
Individu itu meminta agar Shazryl tidak melakukan sumpah laknat itu.
“Proses angkat sumpah ini tiada dalam syariat Islam, apa yang ada proses sumpah yang membabitkan pasangan suami isteri sahaja.
“Jadi proses ini tidak ada dalam syariat Islam, jadi anda pilihlah,” kata individu itu sebelum diminta agar beredar oleh polis.
Sebaik sahaja proses itu selesai, ketiga-tiga “Datuk T” itu bergegas meninggalkan Masjid Amru al-As dengan dikejar penyokong Pakatan Rakyat yang mengecam tindakan itu.
“Tolak, tolak, tolak fitnah... ia satu fitnah... ia fitnah... kenapa tidak dikenakan tindakan qazaf? Kenapa dibenarkan mereka melakukan sumpah laknat?
“Kenapa Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan polis membenarkan perkara ini berlaku? Mengapa melindung orang yang buat fitnah,” kata penyokong Pakatan Rakyat itu dipercayaai ahli PKR.
Bagaimanapun, mereka kemudiannya dibawa keluar dari ruang solat masjid itu oleh anggota polis.
Turut hadir menyaksikan upacara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan naib ketua Azmizam Zaman Huri.
Sepanjang proses itu berjalan, polis mengawal ketat keselamatan kerana dikhuatiri bimbang insiden yang tidak diingini.
Terdahulu, Masjid Amru al-As yang dipilih Shazryl untuk melakukan sumpah laknat, bertukar menjadi kecoh ekoran tindakan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat membantah tindakan “Datuk T” itu.
Sejurus selepas solat Jumaat, mereka melaungkan takbir dan mendesak Jawi mengambil tindakan qazaf terhadap “Datuk T” sebelum membenarkan sumpah laknat dilakukan.
Bagaimanapun ketika protes itu, dipercayai dilakukan oleh berpuluh-puluh orang, Shazryl tidak berada di masjid tersebut

Rabu, 27 April 2011



PEMILIH BARU KETARA, LEBIH 300,000 DAFTAR SUKU PERTAMA 2011
KUALA LUMPUR, 27 April – Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 semakin dekat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mencatatkan peningkatan jumlah mereka mendaftar sebagai pemilih baru – lebih 300,000 orang mengemukakan permohonan pada suku pertama tahun ini.
Angka itu mengatasi lima suku terakhir sebelum ini dan mengalami peningkatan peningkatan ketara.
Ia juga dua kali ganda lebih tinggi berbanding suku pertama tahun lalu.
Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku pertama tahun 2011 iaitu dari Januari hingga Mac, SPR menerima 301,171 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 59,075 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.
Nama-nama baru itu akan dipamer di bawah Rang Daftar Pemilih tambahan bagi suku pertama tahun 2011 untuk semakan orang ramai mulai esok hingga 4 Mei, kata Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said.
Ia akan dipamerkan di 1,005 tempat di seluruh negara iaitu 15 Pejabat Pilihan Raya Negeri; 475 Pejabat Pos Berkomputer; 105 kompleks/pejabat kerajaan; 156 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah; 51 majlis daerah/perbandaran; 173 dewan serbaguna/rukun tertangga/balai raya/ penghulu atau dewan; dan 30 di tempat-tempat lain.
“Orang ramai yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi, dinasihat membuat semakan,” katanya.
Perangkaan dikeluarkan SPR sebelum ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.
Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.
Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.
Berdasarkan daftar yang disahkan setakat 31 Disember lalu, SPR mempunyai 11,817,936





TIADA PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN MULAI ESOK, DUN MASIH ADA MASA
Oleh G Manimaran
KUALA LUMPUR, 28 April — Negara yang menyaksikan 16 pilihan raya kecil — jumlah yang sama dengan sepanjang tempoh 1986 hingga 1995 — tidak akan mengadakan pilihan raya kecil bagi peringkat Parlimen selepas hari ini melainkan jika ada keperluan khas untuk berbuat demikian.
Ini termasuklah kerusi Parlimen Batu, yang disandang PKR, yang statusnya menanti keputusan mahkamah rayuan.
Mengikut perundangan negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil melainkan jika ada keperluan khas.
“Selepas hari ini jika ada kekosongan, bagi kerusi Parlimen, tidak akan diadakan lagi pilihan raya kecil,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“Tarikh Dewan Rakyat bersidang 28 April, jadi mengambil kira tarikh itu, bermakna jika ada kekosongan selepas hari ini, pilihan raya kecil tidak akan diadakan,” kata beliau.
“Jadi, jika berlaku kekosongan luar jangka, mengambil kira genap tiga tahun persidangan Dewan Rakyat, maka tidak akan ada pilihan raya kecil,” kata beliau sambil menyifatkan sebanyak 16 pilihan raya kecil dalam tempoh tiga tahun sebagai satu jumlah yang banyak dan menjadi “ruang latihan praktikal” kepada kakitangan SPR.
Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa satu-satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat mandat Parlimen. Mandat semasa kerajaan pusat akan berakhir April 2013.
Pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.
Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata tempoh akhir bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri adalah berbeza kerana kali pertama persidangan adalah berbeza mengikut negeri masing-masing.
“Mengikut maklumat yang ada, Pahang negeri terakhir mengadakan sidang pertama Dewan Undangan Negeri selepas pilihan raya umum, akhir bulan Mei.
“Jadi ada masa lagi masa untuk (diadakan) pilihan raya kecil (jika berlaku kekosongan luar jangka) bagi kebanyakan negeri dengan Pahang sehingga bulan Mei,” katanya lagi.
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang mengangkat sumpah pada 21 Mei 2008 — dua bulan selepas pilihan raya umum ke-12.
Daripada 16 pilihan raya kecil, kerusi-kerusi Parlimen yang menyaksikan pilihanr raya kecil ialah Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi.Kecuali kerusi Hulu Selangor dan Batu Sapi, yang lain dimenangi Pakatan Rakyat (PR). Barisan Nasional (BN) merampas Hulu Selangor daripada PR manakala PR pula menawan Kuala Terengganu dimenangi BN pada 2008.
Kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan pilihan raya kecil ialah Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.
Untuk mengadakan 16 pilihan raya kecil, kerajaan telah menanggung kos lebih RM11 juta.
Mengikut maklumat diberikan di Dewan Rakyat akhir bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Permatang Pauh menelan kos RM409,000, Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.29 juta), Galas (RM1.05 juta), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).
Katanya, kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.
Menurut Wan Ahmad, kos itu hanya membabitkan pihak SPR tanpa mengambil kira perbelanjaan oleh agensi-agensi lain seperti polis.
Mengikut rekod, negara menyaksikan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ketujuh dan tiga bulan sebelum pilihan raya umum kelapan pada November 1990.Malah, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan antara tempoh selepas pilihan raya umum 1990 menjelang pilihan raya umum April 1995.
Pun begitu negara pernah berhadapan dengan 17 pilihan raya kecil — jumlah tertinggi sejak awal 1980-an — yang diadakan sepanjang tempoh selepas pilihan raya umum 1995 dan sebelum pilihan raya umum 1999.
Kini tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Seputeh, Pelabuhan Klang dan Lenggeng menunggu keputusan mahkamah rayuan.
Bagaimanapun pemerhati dan penganalis melihat kemungkinan tidak akan ada pilihan raya kecil membabitkan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri itu dan kawasan Parlimen kerana ia boleh melalui peringkat rayuan lebih tinggi selepas ini.

Isnin, 25 April 2011



KES LIWAT: KARPAL GESA MAHKAMAH DAKWA SAIFUL KERANA BOHONG
Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 25 April — Karpal Singh mahu Mohd Saiful Bukhari Azlan dikenakan tuduhan “berbohong” di mahkamah kononnya dia telah diliwat oleh majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga tahun lalu.
Dalam hujah penggulungan, peguam utama Anwar itu berkata, Saiful bukan saksi berwibawa dan kes dibawa terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu perlu digugurkan dengan segera.
Menurut Karpal, terdapat terlalu banyak elemen tidak konsisten antara tuduhan ke atas Anwar dan keterangan diberikan oleh saksi utama itu dalam perbicaraan semasa.
Saiful juga merupakan pengadu dalam kes liwat kedua melibatkan Anwar.
Justeru, beliau menggesa mahkamah agar mengarahkan pendakwa membawa tuduhan terhadap Saiful di bawah Seksyen 195 Kanun Keseksaan — mereka-reka bukti dengan tujuan mahu menyabitkan kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara.
MENYUSUL LAGI








Ahad, 24 April 2011

VIDEO SEKS: ANWAR TAK PERLU SUMPAH MUBAHALAH, KATA HARUSSANI
Oleh G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 25 April — Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melakukan sumpah mubahalah berhubung dakwaan rakaman video seks, oleh tiga “Datuk T”, yang mengaitkan dengan diri beliau.
Ini kerana jelas Mufti Perak, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan atau dijatuhkan hukuman kerana pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” masih belum dibuktikan lagi.
Tegas, Harussani (gambar), sebarang tuduhan atau pendakwaan terhadap Anwar perlu dilakukan di mahkamah dan bukan di khalayak ramai termasuk sumpah mubahalah.
“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.
“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dipetik akhbar arus perdana baru-baru ini, agar Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ekoran tuduhan “Datuk T” terhadapnya. Asri dipetik berkata Anwar perlu bersumpah seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tiga tahun lalu.
Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.
Malah ketiga-tiga individu itu telah membuat pengakuan secara terbuka dan akan mengambil tanggungjawab selain bersedia menerima sebarang tindakan undang-undang.
Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa “Datuk T”.
Malah sebelum ini Shuib juga mencabar Anwar supaya bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks itu.
Tambah Harussani, sekiranya Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ia tidak boleh membuktikan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam tuduhan itu.
“Sumpah mubahalah ini tak perlu buat depan orang ramai, kalau nak buat di mahkamah.
“Kalau buat depan orang ramai tidak boleh pakai kerana keputusan hanya dibuat di mahkamah sahaja... kalau buat kepada orang ramai, apa yang mereka boleh buat?” soalnya.
Dalam pada itu, Asri berkata laporan sesetengah media yang mengatakan bahawa beliau meminta Anwar bersumpah mubahalah kurang tepat.
“Saya menjawab menyatakan Datuk T wajar bersumpah mubahalah, isu video itu tidak membabitkan diri mereka.
“Cumanya jika mereka buat juga, bagi mengelakkan salah sangka masyarakat, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menyebut wallahi, wa billahi, wa tallahi, menafikan hal itu,” kata bekas mufti Perlis ini.
Kata beliau, sekurang-kurangnya langkah itu dapat menghilangkan salah sangka sesetengah pihak.
“Pun begitu, terpulang kepadanya, tiada paksaan,” kata beliau lagi.
Jelas Asri, mubahalah menyebut laknat ke atas diri dan jika tidak disebut maka ia adalah sumpah biasa.
“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dia boleh buat mubahalah, terpulang kepadanya. Jika dia buat, kesannya besar kepada diri dan rakyat,” tambah beliau.

Sabtu, 23 April 2011



POLIS HAPUS SISTEM PERANGKAP KELAJUAN, KATA TIMBALAN IGP
KUALA LUMPUR, 23 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan lagi sistem perangkap kelajuan, yang menjadi sebahagian daripada punca rungutan mengenai notis saman ekor selama ini.
Sebaliknya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan bertindak telus dan akan memberi amaran kepada kepada para pemandu mengenai operasi mengesan kelajuan memandu terlebih dahulu.
Sistem perangkap kelajuan menggunakan kamera telah digunakan hampir dua dekad oleh PDRM.
“Kami tidak harus bersembunyi di sebalik belukar. Kami perlu tampil secara terbuka dan menguatkuasakan undang-undang (secara telus),” kata beliau kepada pemberita di Shah Alam hari ini.
Banyak pihak mempertikaikan notis saman yang dihantar ke alamat pemilik dengan ramai mendakwa bukan mereka yang mengendalikan kenderaan ketika dikesan.
Ada yang mewujudkan jawatankuasa atau pertubuhan bukan kerajaan membantah sistem itu, antara Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) yang mahu kerajaan menghapuskan sistem notis saman ekor.






Jumaat, 22 April 2011



TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY LUAS EMPAYAR, DRB-HICOM KUASAI POS MALAYSIA
Oleh Lee Wei Lian
April 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 April — Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengembangkan empayar niaga beliau — hari ini diumumkan yang syarikatnya, DRB-Hicom Bhd berjaya dalam bidaan menguasai 32.2 peratus pegangan Khazanah Nasional di Pos Malaysia Berhad.
DRB Hicom dimiliki Syed Mokhtar (gambar) yang turut menguasai bisnes lain, antaranya perkhidmatan pelabuhan dan pengeluar tenaga bebas terbesar negara Malakoff Corp, pembekal beras nasional Bernas dan pengedaran gas melalui Gas Malaysia.
Syarikatnya MMC juga terlibat dalam projek MRT Lembah Klang dengan kerjasama Gamuda.
Dalam satu kenyataan media dikeluarkan petang ini, Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata, DRB-Hicom dipilih berdasarkan keseluruhan bidaan, yang bukan sahaja menawarkan strategi niaga baik tetapi juga harga yang boleh diterima.
“Strategi dan pelan bisnes yang disyorkan menyediakan platform yang efektif bagi pertumbuhan Pos Malaysia jika diterima oleh Lembaga Pos secara keseluruhan,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut tiga pembida telah disenarai pendek daripada 50 pembida yang mengemukakan bida bagi membeli kepentingan berkenaan.
Selain DRB-Hicom, turut disenarai pendek ialah Nationwide Express Courier Services Bhd dan konsortium usaha sama antara Amanah Reit dan Malaysia Pacific Corp.
Antara strategi dan pelan perniagaan DRB-Hicom yang dikemukakan DRB-Hicom ialah mewujudkan sinergi strategik antara bank Islam yang dikuasainya iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd dengan Pos Malaysia.
Bank Muamalat, bank Islam ketiga terbesar Malaysia dari segi aset, dikatakan mampu menjadi rakan sinergi terbaik bagi Pos Malaysia terutama dalam mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan serta jangkauan capaian pelanggan masing-masing.
DRB-Hicom juga dikatakan berupaya memastikan Pos Malaysia meneruskan tanggungjawab Universal Service Obligations (USO), selain mengekalkan kakitangan sedia ada.
Pos Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Bank Muamalat pula ketika ini hanya mempunyai 56 cawangan.








Khamis, 21 April 2011




KES SARBANI: POLIS RUMUS KEMATIAN MENGEJUT, TIADA ELEMEN JENAYAH
KUALA LUMPUR, 21 April – Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 6 April lalu.
Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.
“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.
Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.
Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.
Minggu lalu, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.
Kata sumber, keluarga Ahmad Sarbaini sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM atas sebab kelalaian serta mahu membersihkan dakwaan kononnya penolong pengarah kastam membunuh diri.
Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.
Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Ahmad Sarbaini meninggalkan balu Maziah Manap, 50 dan lima anak.
Kematian Ahmad Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.
Laporan media sebelum ini menyebut polis telah mengambil keterangan daripada 40 individu bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Sarbaini.

Rabu, 20 April 2011



AZIZ BARI: PEMUDA PAS "JANGAN NAIK MINYAK" KERANA KRITIK HADI
Oleh G Manimaran
KUALA LUMPUR, 20 April — Prof Abdul Aziz Bari menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya tidak “mengamuk dan naik minyak” ekoran pandangannya bahawa Presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini dilihat sebagai liabiliti kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Justeru tegas penganalisis politik ini, Dewan Pemuda PAS khususnya kepimpinan Wilayah Persekutuan seharusnya memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik.
“Dewan Pemuda PAS Wilayah (Persektuuan) tak perlu melenting. Mereka kena faham konsep dan implikasi kepemimpinan dalam politik moden berperlembagaan hari ini,” kata ahli akademik ini.
“Mungkin Dewan Pemuda Wilayah berasa PAS sekarang hebat. Itu hak mereka. Tetapi tak perlulah mereka mengamuk.
“Saya fikir elok mereka bekerja untuk memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik,” kata beliau dalam satu kenyataan balas hari ini.
Semalam, pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen turut menyanggah pandangan Aziz sambil berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS.
“Selain itu, pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.
“Ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan Presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008, malah jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari tujuh kerusi pada 2004,” katanya.
Sebagai presiden kata beliau, keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja.
“Dan, ia sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah presiden,” katanya.
Kata beliau, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Hadi adalah punca kegagalan 16 September.
“Di tadika manakah fakta ini diperolehinya? Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai profesor atau sekadar menggantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi.
“Nampaknya beliau sengaja mengkambinghitamkan presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca,” kata beliau lagi.
Pemimpin-pemimpin PAS mempertahankan kepimpinan Hadi sambil menegaskan pemimpin veteran itu bukan liabiliti kepada parti Islam sepert didakwa Aziz.
Sebaliknya, mereka sebulat suara berkeyakinan Hadi yang telah menerajui PAS sejak 2002 masih releven untuk menjadi pemimpin nombor satu parti itu ekoran kejayaan yang telah dicapai semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi pula berkata alasan yang diberikan Aziz itu adalah perkara yang akan sentiasa dibangkitkan setiap kali menjelang pemilihan parti itu.
Dalam kenyataan hari ini, Aziz juga berkata, ramai yang akur bahawa ruang yang ditinggalkan oleh Fadhil tidak dapat diisi oleh Hadi.
“Fadhil hebat kerana beliau meninggalkan landasan yang hari ini menjadi asas Pakatan Rakyat. Sebaliknya, Hadi mempunyai imej yang berbeza. Walaupun belum ke tahap meninggalkan Pakatan golongan ini sudah pernah mengungkit kedudukan mereka dalam Pakatan,” kata beliau.
Oleh itu kata beliau, mereka yang mahu perubahan dalam negara perlu menyokong perubahan dalam PAS.
Katanya, perubahan dalam negara sukar untuk berlaku tanpa sistem dua parti yang mantap. PAS di bawah Hadi tidak peduli konsep ini.
“Meskipun Hadi dan kumpulannya menjerit-jerit untuk menggantikan Umno mereka tidak bekerja untuk membina sebuah sistem yang perlu ke arah itu. Sebab itu Umno senang dengan mereka,” katanya lagi.
Aziz berkata, sesiapa yang berjawatan dalam politik perlu akur bahawa prestasi mereka sentiasa dinilai dan dikritik.
“Siapa raja, baik putera raja, ulama, cendekiawan dan lain-lain, perlu akur bahawa mereka tidak lagi kebal dari penilaian dan kritikan,” katanya lagi.
Aziz menambah, “komen saya mungkin keterlaluan bagi mereka” tetapi bagi mereka yang prihatin tentang perlunya perubahan, komen itu boleh dipertimbangkan.
“Komen saya berdasarkan pemerhatian dan suara yang dizahirkan oleh pemimpin dan ahli parti. Saya tak perlu dedahkan siapa mereka. Itu kerja parti, termasuk Dewan Pemuda Wilayah, untuk menyiasatnya,” katanya lagi.
Soal Aziz, jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS.
“Lagipun PAS sudah mendakwa yang ia bersedia mengganti Umno. PAS juga mendakwa ia parti untuk semua, termasuk orang bukan Islam.
“Dengan itu PAS perlu inklusif, bukan eksklusif. Mengamuk dan naik minyak bila dikritik bukan ciri parti politik,” katanya.
Aziz juga berkata, beliau tidak mengkritik Hadi atas dasar peribadi, sebaliknya mengkritik prestasnya kerana ingin melihat PAS parti penting.
“Ia bukan sahaja parti utama Pakatan Rakyat tetapi ia parti yang senior dan mempunyai banyak ahli, khabarnya sejuta. Ertinya PAS parti terbesar dalam Pakatan Rakyat,” katanya.
Sebab itu katanya, Umno sentiasa gelisah dengan PAS dan cuba mencari jalan untuk menggoncang kesetiaannya dalam Pakatan Rakyat.
“Sikap dolak dalik Presiden PAS dalam isu 16 September semua orang tahu. Begitu juga dengan gagasan kerajaan perpaduan,” katanya.
Aziz juga mengaitkan kritikan terbaru ini dengan prestasi parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.
“Cuba bandingkan perancangan DAP di Sarawak. Mereka bekerja sejak tahun yang lalu. Saya rasa PAS tidak berbuat begitu.
“Mereka sepatut menang di Beting Maro. Dalam soal ini, siapa yang patut menanggungnya?” katanya.
Beliau seterusnya memberikan analogi “jika pemain gagal bermain dengan baik pasti ada yang tidak kena dengan sistem permainan dan taktik yang dipakai.”
“Dan, siapa yang hendak dipersalahkan? Jawabnya jurulatih atau pengurus pasukan. Kita akur bahawa menukar ketua tidak semestinya menghasilkan keputusan yang positif.
“Tetapi kita mesti mencuba. Kita tidak boleh mengekalkan pengurusan yang prestasinya hambar,” katanya lagi.






Selasa, 19 April 2011




HADI BUKAN LIABILITI TAPI MASIH RELEVAN, TEGAS PEMIMPIN PAS
Oleh G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra
April 19, 2011
KUALA LUMPUR, 19 April — Pemimpin-pemimpin PAS mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menegaskan pemimpin veteran itu bukan liabiliti kepada parti Islam sepert didakwa penganalisis Prof Abdul Aziz Bari.
Sebaliknya, mereka sebulat suara berkeyakinan Hadi (gambar) yang telah menerajui PAS sejak 2002 masih releven untuk menjadi pemimpin nombor satu parti itu ekoran kejayaan yang telah dicapai semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Selain itu, mereka juga berpendapat alasan yang diberikan Aziz, seorang penganalisis politik yang mengatakan kepimpinan parti Islam itu perlu berubah termasuk presidennya yang disandang Hadi adalah tidak wajar dan bersifat mahu mengganggu keharmonian parti itu menjelang pemilihan Jun ini.
Aziz juga berkata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilihat gagal mempertahankan parti dalam beberapa itu berbangkit — termasuk gagal memperoleh sebarang kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.
Kata Aziz, keadaan itu menyebabkan ahli-ahlinya kurang kepercayaan kepada kepimpinan Hadi yang menyulitkan perkembangan PAS dan kegagalan menyerlah sebagai ‘kapten’ kepada parti itu.
“Ini dapat dilihat apabila Terengganu jatuh (semula) kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Beliau juga dikatakan antara punca rancangan 16 September Pakatan Rakyat musnah,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi berkata alasan yang diberikan Aziz itu adalah perkara yang akan sentiasa dibangkitkan setiap kali menjelang pemilihan parti itu.
Justeru, tegas Nasrudin, Hadi bukan liabiliti kepada PAS dan masih lagi layak untuk menerajui parti Islam itu selepas banyak membawa perubahan besar kepada parti itu.
“Hujah Aziz itu adalah hujah yang berulang dan telah kita selesaikan sebelum daripada ini, hujah kekalahan di Terengganu... hujah kegagalan 16 September semua nak dibebankan kepada Datuk Seri Abdul Hadi... nak ulang hujah sama itu tidak releven dan ia tidak jelaskan kenapa beliau harus menyalahkan Datuk Seri Abdul Hadi.
“Kita tak boleh pakai hujah begitu... sepatutnya beri fakta yang jelas dan bukan ulang hujah yang sama dan ingin saya tegas Datuk Seri Abdul Hadi bukan liabiliti kepada PAS,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tegas beliau, sekiranya Hadi menjadi liabiliti kepada PAS sudah tentu kawasan-kawasan yang bermesyuarat akan mencalonkan pemimpin lain, tetapi sehingga kini hanya PAS kawasan Bukit Bintang sahaja yang bertindak demikian.
“Kalau semua kawasan calonkan Datuk Seri Abdul Hadi ini bermakna kepimpinan beliau masih releven. Jadi, kita serah kepada perwakilan tak perlu menggunakan kaedah mencipta persepsi negatif terhadap peribadi Datuk Seri Abdul Hadi.
“Kalau perwakilan beri kepercayaan kepada beliau, adakah beliau masih menjadi liabiliti kepada PAS... tidak. Kepercayaan perwakilan menggambarkan mereka mempercayai Datuk Seri Abdul Hadi dan kepimpinannya,” katanya.
Jelas Nasrudin, gesaan agar Hadi meletakkan jawatan itu hanya akan “muncul” setiap kali pemilihan parti diadakan dengan tujuan mahu “mencipta” persepsi negatif terhadap bekas menteri besar Terengganu itu.
“Ia adalah kaedah nakal yang muncul ketika pemilihan yang mahu ganggu keharmoniaan pemilihanb PAS, pandangan seperti ini berlaku bila ada pemilihan sahaja.
“Ia satu pandangan yang tidak perlu diambil kira sangat tapi kita hormat pandangan yang diberikan semua orang,” kata beliau sambil menambah, “kita menghormati pandangan semua orang sama ada positif atau negatif tapi dalam memberi pandangan yang paling penting adalah kita memerlukan hujah atau fakta yang jelas.”
Justeru kata Nasrudin, hanya perwakilan yang paling layak untuk menentukan barisan kepimpinan PAS ketika pemilihan nanti.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu kekalahan PAS di Sarawak dan beberepa siri pilihan kecil tidak boleh dijadikan kayu pengukur bahawa Hadi adalah penyebab kegagalan itu.
Sebaliknya, Tuan Ibrahim menasihatkan agar setiap pandangan yang dikemukakan itu harus bersikap jujur dengan turut mengambil kira kejayaan dan pencapaian PAS sejak Hadi menerajui parti.
“Yang pertama kita hormati setiap pandangan semua pihak cuma cadangan itu mungkin berpunca dari pencalonan satu kawasan dan ia bukan merupakan gambaran keseluruhan (kawasan).
“Saya milihat kita harus lihat secara jujur iaitu bukan dari aspek kegagalan tapi kejayaan yang dicapai dalam kepimpinan beliau termasuk memenangi negeri Kedah dalam pilihan raya umum dan PAS diterima bukan Islam juga di bawah kepimpinan beliau, jadi beberapa kegagalan yang berlaku tidak boleh dijadikan kayu pengukur,” katanya.
Tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu, sekiranya Hadi adalah liabiliti kepada parti, maka semua kawasan tidak akan menyokong kepimpinan beliau dan akan memilih pemimpin lain.
“Beliau bukan liabiliti sebab semua kawasan juga mencalonkan beliau, kalau kata liabiliti separuh kawasan akan calonkan orang lain (bagi jawatan presiden).
“Beliau masih releven untuk jadi presiden, beliau bukan liabiliti... beliau diterima semua pihak, beliau bukan liabiliti kepada PAS dan saya tak nampak apa yang dimaksudkan sebagai liabiliti itu,” katanya.
Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa pula berkata apa yang dikatakan Aziz itu hanya pandangan peribadi, namun hakikatnya kepimpinan Hadi masih lagi diperlukan PAS.
“Pandangan Aziz sebagai seorang yang bebas dari parti, itu hanya perspektif org yang di luar dan dari segi kepimpinan kita masih memerlukan kepimpinan beliau (Hadi).
“Malah semasa kepimpinan beliau ada banyak pencapaian parti termasuk kemenangan PAS pada 2008, jadi walaupun dari segi pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil ia bukan kayu pengukur yang mutlak, jadi harus dilihat dari sudut pencapaian lain juga,” katanya.
Kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu, kepimpinan dan kekuatan Hadi masih diperlukan PAS dan ia perlu dibuktikan dalam menghadapi situasi politik semasa.
“Saya yakin kepimpinan beliau telah mengambil kira semua pandangan, dengan syarat PAS harus melonjak.
“Selain itu kalau lihat sejarah parti tak ramai presiden ditandingi, apa yang berlaku sama ada presiden letak jawatan atau krisis... jadi apa yang berlaku ini adalah satu cabaran kepada beliau selaki presiden,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib dengan tegas berkeyakinan Hadi akan membawa lebih banyak perubahan sekiranya terus menerajui parti tersebut.
“Kekal sebagai presiden, kerana Abdul Hadi berjaya bawa PAS ke dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Beliau juga berjaya membawa PAS agar ia boleh disertai kaum-kaum lain.
“Beliau perlu kekal sebagai presiden dan tingkat prestasi untuk kuatkan PAS pada masa depan, jadi beliau masih perlu menerjaui PAS buat masa sekarang dan beberapa tahun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen turut menyanggah pandangan Aziz sambil berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS.
“Selain itu, pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.
“Ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan Presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008, malah jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari tujuh kerusi pada 2004,” katanya.
Sebagai presiden kata beliau, keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja.
“Dan, ia sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah presiden,” katanya.
Kata beliau, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Hadi adalah punca kegagalan 16 September.
“Di tadika manakah fakta ini diperolehinya? Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai profesor atau sekadar menggantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi.
“Nampaknya beliau sengaja mengkambinghitamkan presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca,” kata beliau lagi.