Selasa, 28 April 2009

MASJID KOTA LAMA KANAN K. KANGSAR, PERAK, MEMPUNYAI SEJARAH TERSENDIRI







Masjid Kota Lama Kanan , K. Kangsar terletak ditepi tebing Sungai Perak disebelah kanan sungai bersempadan dengan Kampong Sayong Lembah. Nama Masjid Kota Lama Kanan begitu sinonim dengan masyarakat tempatan malah pencinta sejarah dari segenap pelusuk negara. Selepas kemangkatan Sultan Muzaffar Syah pada tahun 1549, Sultan Mansur Syah 1 telah ditabalkan menjadi Sultan Perak ke-2. Baginda diiringi Bendahara Megat Teraweh telah berangkat kesebuah kampung yang bernama Kampung Kan Kong di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, Perak dan terus bersemayam disitu .

Baginda Sultan Mansur Syah 1 pernah beristerikan anak Tok Batin (Ketua Orang Asli) Daerah Kinta dan dikurniakan seorang Putera bergelar "Panglima Kinta" (Orang Besar Perak Daerah Kinta). Baginda Sultan Mansur Syah 1 telah mangkat pada tahun 1577 tetapi tidak mempunyai makam. Mengikut ceritanya, Baginda Sultan Mansur Syah 1 mangkat semasa bersembahyang Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan ,terus ghaib dan tidak dapat dikesan . Seluruh rakyat jelata amat berdukacita terutama penduduk Kariah Masjid Kota Lama Kanan atas kehilangan Baginda.

Masjid Kota Lama Kanan telah dibina semula pada tahun 1916 kerana masjid lama telah dibakar oleh penjajah Inggeris semasa Perang Perak tahun (1875-1876). Pada ketika itu Sultan Idris Mursyidul' Adzam Syah ke-28 telah memerintahkan supaya dibina batu peringatan didalam Masjid Kota Lama Kanan sebagai memperingati kemangkatan Sultan Mansur Syah 1.

Kepada pencinta sejarah bolehlah berkunjung ke Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar untuk melihat sendiri batu peringatan yang terletak disebelah hadapan saf pertama dalam masjid berkenaan.