Maka
riuhlah media arus perdana milik BN yang ingin sangat memberikan gambaran
bahawa DAP dan PAS sedang bergaduh bagi merebut kerusi exco di Selangor.
Dikatakan DAP inginkan empat kerusi exco dan begitu juga PAS! Hakikat
sebenarnya, tiada siapa yang sedang berebut apatah lagi sedang bergaduh. Begitu
juga isunya tempoh hari berhubung jawatan MB. Cuma ‘rebut’ rekaan mereka
sahaja.
Masalah
sebenar
Sebenarnya
masalahnya terletak pada jumlah kerusi exco yang ada hanya 10. Sedangkan
parti-parti dalam PR ada 3. Jumlah kerusi yang dimiliki setiap parti pula lebih
kurang sama, berbeza dengan tahun 2008. Pada tahun 2008, apabila PAS hanya
memengangi 8 kerusi, DAP 13 dan PKR 15 (pada asal), maka agihan kerusi exco
lebih mudah. Jelas siapa patut mendapat lebih dan siapa kurang. Maka
dipersetujui pada 2008 PKR mendapat jawatan MB dan 4 exco dan DAP pula 3 exco
dan jawatan Speaker. PAS yang mendapat 8 kerusi DUN diberikan 3 kerusi exco,
iaitu jumlah yang sebenarnya melebihi nisbah kerusi yang ada pada PAS pada
ketika itu. Maka isu agihan diselesaikan tanpa perbincangan panjang.
Kali
ini, suasananya agak berbeza. Ketiga-tiga parti mendapat jumlah kerusi yang
boleh dikatakan sama. Maka timbul persoalan bagaimana dibahagikan 10
kerusi di antara 3 parti? Mustahil untuk setiap parti memegang 3.333
kerusi exco! Oleh itu pecahannya semestinya 3, 3 dan 4. Oleh itu dipersetujui
bahawa parti yang mendapat MB akan mendapat hanya 3 kerusi exco. Begitu juga
yang mendapat jawatan Speaker. Parti yang tidak memegang jawatan MB atau
Speaker sahaja akan mendapat 4 kerusi exco.
Jawatan
MB dan Speaker dibawa masuk dalam perkiraan ini untuk menjadikan jumlahnya
keseluruhannya 12 supaya dapat dibahagi 3 dengan tepat. Maka setiap parti dapat
4, termasuk jawatan MB dan Speaker.
Speaker
dari DAP atau PAS?
Oleh
kerana PKR mendapat jawatan MB, maka PKR mendapat 3 kerusi exco. Maka agihan
untuk PKR selesai. Yang tinggal hanyalah PAS dan DAP. Maka dinyatakan oleh DAP
bahawa mereka telah memegang jawatan Speaker sudah 5 tahun. Maka kalau boleh
DAP minta PAS pula memegang jawatan Speaker untuk penggal ini.
Bagi
pimpinan PAS permintaan ini tidak merupakan masalah besar. Kita faham bahawa
semua exco perlu laksanakan dasar PR dan bukan dasar parti masing-masing. Ini
adalah kerana yang memerintah adalah kerajaan PR dan bukannya kerajaan parti
masing-masing. Maka siapa sekalipun menjadi exco, dia akan terikat dengan dasar
yang ditetapkan oleh PR secara bersama. Oleh itu tawaran supaya PAS pegang
jawatan Speaker dan 3 exco tidak ditolak mentah-mentah.
Jawatan
Speaker ada yang anggap tidak penting. Sekiranya benar, mengapa di Perak BN
bersusah-payah membawa polis masuk ke dalam DUN dan heret Speaker dan
menguncinya di dalam bilik stor? Ini bukti bahawa kerusi Speaker begitu penting
untuk menguasai DUN.
Sikap
PJ PAS Selangor: Dr Rani
Saya
merasa cukup senang dan selesa dengan sikap PJ PAS Negeri Selangor dalam soal
sebegini. Beliau faham bahawa bukan jawatan yang ingin direbut.
Dan bagi PAS, yang penting adalah untuk memikat hati rakyat, bukan ingin tunjuk
betapa gahnya PAS dengan bilangan kerusi exco atau sebaliknya. Maka mencari
penyelesaian yang adil sambil mengambil kira suasana dan keadaan adalah yang
diutamakan. Ini adalah kerana apa yang diinginkan ialah kerajaan dibentuk
dengan kadar segera supaya boleh mula berkhidmat pada rakyat. Bukan bergaduh
mengenai jawatan.
Dalam
pada itu, tidak dapat tidak perbandingan dibuat dengan PJ Negeri yang lama.
Jauh sangat bezanya dengan sikap PJ lama, berkata seorang hamba Allah. Kalau PJ
lama sudah hampir pasti kita berperang! 8 kerusi pun mahu jadi MB, apatah lagi
dengan 15 kerusi!
Maka
dijawab kepada DAP bahawa PAS boleh merima tawaran tersebut, di atas semangat
setia-kawan dan mengenangkan betapa DAP menyokong cadangan PAS diberi 3 kerusi
exco pada tahun 2008 walaupun PAS hanya berhak untuk mendapat 2 berdasarkan
jumlah kerusi ADUN yang dimengangi ketika itu. Tetapi telah pun dijelaskan
bahawa akhirnya ianya akan tertakluk juga kepada pandangan DYMM Sultan
Selangor.
Pandangan
DYMM Sultan Selangor
MB
akan mengadap Sultan dan membawa cadangan pembentukan exco seramai 10 orang.
Pada masa yang sama, kami difahamkan bahawa DYMM Sultan ingin melihat exco
terdiri dari 6 Melayu dan 4 bukan-Melayu. Ini berbeza dengan 2008 di mana exco
terdiri dari 5 Melayu dan 5 bukan-Melayu. Perbezaan ini adalah hasil dari
jumlah kerusi majoriti Melayu yang memihak pada PR telah bertambah. Dahulu UMNO
18 kerusi, sekarang hanya 12. PAS sendiri pun sudah ada 15, mengatasi UMNO, ini
belum di ambil kira lagi kerusi yang ada pada PKR.
Sekiranya
permintaan DYMM Sultan adalah 6 Melayu dan 4 bukan-Melayu, maka agak sukar
untuk diberikan 4 kerusi exco kepada DAP. Ini kerana, kalau diberikan 4 kerusi
exco pada DAP, maka semua exco bukan Melayu adalah dari DAP dan ini akan
menyulitkan PKR. PKR terpaksa melantik semua exco Melayu dan ini akan menjadi
masalah bagi PKR kerana mereka juga mempunyai ahli dan penyokong bukan-Melayu
yang ramai. Dan sepertimana yang kita semua sedia maklum, beberapa ADUN PKR
adalah bukan-Melayu. Dalam keadaan seperti itu, maka DAP perlu menerima tawaran
jawatan Speaker dan 3 exco supaya 1 exco bukan-Melayu boleh dilantik oleh PKR.
Dalam
erti-kata lain, DAP hanya boleh mendapat 4 kerusi exco sekiranya terdapat 5
exco bukan-Melayu. Dalam keadaan itu PKR masih boleh melantik seorang exco
bukan-Melayu dari PKR. Sekiranya bukan-Melayu hanya 4 orang dalam exco, maka
DAP perlulah merima 3 exco dan Speaker supaya 1 exco bukan Melayu tetap dapat
dilantik dari PKR.
Maka
dipersetujui bersama bahawa MB akan berusaha untuk mendapat persetujuan DYMM
Sultan supaya dikekalkan jumlah exco bukan-Melayu sebagai 5 dan
exco Melayu juga 5 supaya DAP boleh mendapat 4 kerusi exco. Walau bagaimanapun,
sekiranya DYMM Sultan tetap dengan pendiriannya, maka MB wajar menerimanya dan
akur dengan kehendak DYMM Sultan. Sekiranya ini berlaku, maka DAP akan diminta
menerima tawaran Speaker dan 3 exco sambil tawaran 4 exco akan diserah kepada
PAS.
Kesimpulan
Ini
merupakan pertimbangan yang dilakukan dalam suasana persahabatan dan kerjasama
yang baik dan mantap sepertimana yang telah terjalin sejak sekian lama. Semua
memahami bahawa perjuangan ini bukan untuk jawatan tetapi untuk membentuk
kerajaan yang adil, telus dan berkebajikan untuk rakyat negeri Selangor secara
khususnya. Isu jumlah kerusi exco tidak dijadikan sebab berbalah. Hanya media
BN sahaja yang mereka cerita bagi cuba menutup kepincangan yang berlaku pada
PRU13.
WaLlahu
'Alam
KHALID
SAMAD