Rabu, 21 September 2011


PAKATAN SETUJU SERTAI PENEL KHAS PARLIMEN

September 21, 2011

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk menyertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen pembaharuan pilihan raya walaupun sebelum ini mendesak pentadbiran Najib memberi jaminan pilihan raya umum ke-13 diadakan dengan melaksanakan cadangan reformasi panel itu.

Menurut Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar), keputusan itu dibuat dengan mengambil kira banyak faktor termasuk untuk memastikan jawatankuasa itu berfungsi dengan baik dan melaksanakan tugas-tugasnya.

“Sehingga hari ini kita belum diberi maklumat tentang jawatankuasa ini bagaimana pun kita bersetuju menyertainya kerana kita akan minta wakil-wakil kita membawa mandat rakyat yang dicetuskan Bersih 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil).

“Dan, pendekatan ini kita akan tuntut laksanakan tuntutan Bersih 2.0, reformasi secara keseluruhan proses pilihan raya dan kita akan pastikan jawatankuasa ini tidak menjadi helah dan kita akan pastikan pilihan raya diadakan selepas reformasi dilakukan,” katanya pada sidang media di sini.

Mengenai wakil rakyat yang akan menyertai jawatankuasa itu, Anwar berkata ia akan diputuskan secara bersama dalam parti perikatan itu.

“Kita buat penyertaan terbuka untuk sertainya dengan mandat yang dikemukakan rakyat, Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat selama ini.

“(Keanggotaan) jawatankuasa ini akan diputuskan oleh PAS, PKR dan DAP, kemudian kita akan putuskan bersama... kita juga akan beri mandat kepada wakil kita untuk sertai dan lihat jawatankuasa ini,” katanya.

Beliau turut menafikan Pakatan Rakyat telah mengubah pendirian apabila memutuskan untuk menyertai jawatankuasa itu.

“Kita tidak berubah, kita lahirkan keberatan kerana kita jelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus bertindak sekarang, mengapa nak berdalih dan berlengah, kerajaan kata bersungguh-sungguh untuk lihat dan kaji... kita beri ruang dan kita akan cuba beri kerjasama,” katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang menyifatkan keputusan untuk menyertai jawatankuasa itu membuktikan Pakatan Rakyat bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“Keputusan sertai jawatankuasa ini menunjukan kita sedia bekerjasama dengan BN supaya kita mempunyai sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

“Kita juga mahu satu jaminan reformasi dilakukan dalam sistem pilihan raya dan ini harus diberi perhatian oleh jawatankuasa ini,” katanya.