Memaparkan catatan dengan label sumber mstar online. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sumber mstar online. Papar semua catatan

Khamis, 28 April 2011



VIDEO SEKS: SHAZRLY ESKAY MAHU SUMPAH LAKNAT
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang merupakan salah seorang trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab terhadap kontroversi video seks melibatkan pemimpin pembangkang, sedia bersumpah laknat pada Jumaat.
Beliau berkata, sumpah berkenaan akan dibuat bertujuan bagi memperakui dakwaannya sebelum ini bahawa pelaku dalam video seks tersebut adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Mengenai identiti sebenar pelaku video tersebut, saya berani bersumpah bahawa pelaku itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana saya sendiri berada di lokasi itu dan juga dalam paparan video berkenaan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.
Selain itu, Shazryl Eskay turut mencabar Anwar untuk bersumpah laknat bersamanya sekiranya Ketua Umum Pakatan Rakyat itu masih menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam video seks berkenaan.
Sumpah laknat berkenaan akan dibuat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul.
Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah dua lagi rakan trio 'Datuk T' iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Shuib Lazim.
Ditanya sama ada kesemua mereka akan bersumpah laknat, Shazryl Eskay berkata beliau akan mewakili trio 'Datuk T' untuk melakukannya.
Mengulas lanjut, Shazryl Eskay berkata pihaknya sedar balasan yang bakal mereka terima sekiranya pendedahan video seks berkenaan merupakan satu fitnah.
"Kami tampil ke hadapan dan mengambil risiko dengan menayangkan video berkenaan, kami sedar apakah balasannya di akhirat sekiranya kami melakukan fitnah.
"Kami percaya berada pada pihak yang benar dan yang penting rakyat di negara ini perlu tahu siapa sebenarnya Anwar kerana beliau tidak layak menjadi pemimpin negara ini," katanya.
Shazryl Eskay yang juga seorang ahli perniagaan berkata beliau dan dua lagi rakannya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan berkenaan bagi membuktikan kebenaran.
"Demi Allah yang maha mengetahui, tindakan yang kami ambil ini adalah semata-mata bertujuan untuk menzahirkan kebenaran dan bukan sekali-kali memfitnah atau bagi memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu atau kepentingan kami sendiri.
"Dengan nama Allah, Rasulullah (saw), rakyat dan anak-anak cucu kita, saya dan rakan-rakan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan tersebut," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diserahkannya kepada polis pada Rabu, Shazryl Eskay berkata beliau menyerahkan calitan air liurnya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Selasa, 26 April 2011




MUKTAMAR AGUNG PAS: PENCABAR DATUK SERI ABDUL HADI HANYA DIKETAHUI 15 MEI
Oleh SUSAN ALBERT KASSIM
PETALING JAYA: Teka-teki sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar calon lain untuk jawatan Presiden PAS akan diketahui pada 15 Mei ini, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali.
"Setakat ini, belum dipastikan sama ada Abdul Hadi akan dicabar calon lain kerana senarai akhir calon yang bertanding akan diketahui pada 15 Mei nanti.
"Keputusan sama ada beliau akan dicabar atau mengekalkan jawatannya bergantung kepada senarai pencalonan yang diterima nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Menurut Mustafa, tarikh untuk semua 179 PAS kawasan menghantar senarai pencalonan bagi pemilihan pucuk pimpinan parti sudah dilanjutkan kepada 15 Mei berbanding tarikh terdahulu iaitu 10 Mei.
"Masih ada masa lagi untuk setiap kawasan menghantar pencalonan masing-masing. Kita masih lagi menunggu senarai calon yang akan bertanding. Selepas itu barulah kita ketahui sama ada jawatan presiden mahupun jawatan tertinggi lain akan dipertandingkan," ujarnya.
Terdahulu, Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa mempertahankan pendiriannya untuk tidak bertandi merebut jawatan presiden parti itu meskipun menerima pencalonan daripada beberapa cawangan.
Sebaliknya, Husam hanya mahu bertanding bagi peringkat anggota jawatankuasa dan menyuarakan sokongan padu terhadap Abdul Hadi untuk mempertahankan jawatan beliau.
Husam pernah bertanding bersama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dua tahun lalu tetapi tewas kepada Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dalam saingan tiga penjuru.
Muktamar Tahunan Pas ke-57 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun ini merupakan medan penting bagi parti itu bagi menentukan masa depan Pas dalam arena politik negara.
Selain tewas dalam empat pilihan raya kecil di Semenanjung, Pas turut gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi pada Pilihan raya Negeri Sarawak, 16 April lalu.

Jumaat, 15 April 2011

LELAKI BERUSIA 65 TAHUN MATI, "HIDUP SEMULA" DUA JAM KEMUDIAN Oleh S.ARULLDAS BUTTERWORTH: Seorang lelaki berusia 65 tahun "hidup semula" selepas doktor-doktor di Hospital Seberang Jaya di sini mengesahkannya mati. Fenomena luar biasa itu yang juga dikenali sebagai Sindrom Lazarus kini menjadi perbualan orang ramai. Selepas dimaklumkan mengenai kematian lelaki yang bekerja sendiri itu, ahli-ahli keluarganya mula membuat persediaan pengebumian malah mendirikan satu khemah di depan rumahnya yang terletak di Jalan Tok Elong, Tanah Liat di Bukit Mertajam. Ketika isteri dan anak lelakinya yang berusia 26 tahun sedang dalam perjalanan ke Balai Polis Seberang Perai untuk membuat laporan, mereka terkejut apabila seorang doktor memaklumkan bahawa lelaki "hidup semula". Menceritakan peristiwa tersebut, anak lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Wei berkata, dia mengejarkan ayahnya ke hospital kira-kira pukul 11 pagi Khamis apabila dia berhenti bernafas di rumah. "Doktor-doktor menjalankan resusitasi kardio-pulmonari (CPR) sebelum mengesahkannya meninggal dunia sejam kemudian. Kami pun ke balai polis untuk melaporkan kematian sebelum menerima panggilan daripada seorang doktor pada kira-kira 1.30 petang," katanya. Wei memberitahu, mereka bergegas ke hospital dan melihat ayahnya dipindahkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU) untuk mendapatkan rawatan. Difahamkan lelaki terbabit dan abangnya yang berusia 70 tahun bertengkar di rumah mereka kira-kira 10.30 pagi. Lelaki itu kelihatannya mengalami kecederaan pada tangan kanan dan rebah sejurus tiba di rumah. Seorang jurucakap hospital berkata, doktor-doktor yang menjalankan CPR untuk lebih sejam tetapi tiada respons. "Doktor-doktor mengesahkan kematian lelaki itu selepas menunggu selama kira-kira dua jam," tambahnya. "Kami terus memantaunya dan mendapati dia secara tiba-tiba bernafas selepas dua dan setengah jam. Kami kemudiannya memasang alat bantu pernafasan padanya," katanya. Jurucakap hospital itu berkata Sindrom Lazarus amat jarang berlaku. Ia merujuk kepada pengembalian denyutan jantung secara spontan selepas usaha melakukan CPR gagal. Menurut laporan The Telegraph di Internet, hanya terdapat 38 kes dilaporkan di seluruh dunia sehingga Jun 2009.