Memaparkan catatan dengan label HARAKAHDAILY. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label HARAKAHDAILY. Papar semua catatan

Selasa, 19 Mac 2013

PULUHAN RIBU RISALAH FITNAH SEDIA DIEDAR DI PERAK



IPOH :Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan agenda jahat pihak tertentu dalam menghadapi PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Koordinatornya, Salman Saleh berkata, pihaknya mendapat banyak maklumat tentang kontena diseluruh negeri Perak yang membawa risalah berbaur fitnah.

Menurutnya, puluhan ribu risalah fitnah itu sudah siap dicetak dan dipercayai akan diedarkan kepada masyarakat pada pilihanraya nanti setelah mendapat arahan.

Katanya, risalah fitnah dalam bentuk buku kecil bertajuk “Drama Pecah Panggung; Box Office” itu ternyata merbahaya kerana ianya terkandung pelbagai fitnah yang bersifat perkauman dan penipuan.

Jelas Salman, risalah tersebut dianggap haram kerana tidak mempunyai terbitan daripada mana-mana pihak.

“Kami mengesyaki risalah tersebut dikeluarkan oleh pihak pro Umno-BN kerana ianya diedarkan bersama satu risalah berbentuk buku bertajuk ‘Mengorak Negara Ke Hadapan” yang tertera dibelakang buku itu cetakan oleh Ibu Pejabat Barisan Nasional,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah ahli jawatankuasanya, Salman Saleh, Hafez Sabri dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Perak mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak Polis merampas risalah haram itu kerana ianya bercanggah dengan undang-undang negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga katanya turut harus mengambil tindakan sewajarnya agar risalah tersebut tidak diedarkan dalam pilihanraya nanti.

“Kami desak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya kerana cara kotor serta jijik ini menyalahi undang-undang dan akan memecah belahkan masyarakat di Negara ini,” tegasnya lagi.

Isnin, 18 Mac 2013

PENYOKONG SAJA TAK CUKUP, JADI AHLI PAS -DATO DR HARON DIN



Di sebalik keghairahan ramai orang yang berminat untuk menyertai PAS, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din sendiri menunjukkan teladan yang baik apabila beliau sendiri memastikan kaum keluarganya juga mendaftar sebagai ahli PAS.
 Dalam ucapan beliau pada satu majlis di Dun Guar Sanji kelmarin, beliau memberitahu turut mengadakan satu gerakan untuk memastikan seluruh ahli keluarganya mendaftar sebagai ahli PAS.
 
Katanya, beliau sendiri mempunyai keluarga yang besar yang terdiri daripada 10 beradik dan setiap ahli keluarganya seramai 256 orang yang telah cukup umur telah didaftarkan sebagai ahli PAS.

"Saya buat satu gerakan supaya seluruh keluarga saya mendaftar sebagai ahli PAS. Keluarga saya besar, daripada 10 beradik dan seluruh anak, cucu, cicit dan menantu kami semuanya ada seramai 256 orang. Semuanya yang cukup umur dan bila kita semak semuanya adalah penyokokong PAS belaka.

"Mungkin sebelum ini kita terlepas pandang, ada yang belum menjadi ahli dan sekadar penyokong PAS sahaja. Setakat penyokong saja tak cukup, kena jadi ahli. Jadi semuanya 100 peratus sudah didaftarkan sebagai ahli PAS dan sudah diserahkan borangnya ke pejabat agung," jelasnya.

Rabu, 28 Mac 2012

PELANGGAN KESAL PEGAWAI BSN BANYAK 'SONGEH'



KUALA LUMPUR, 28 Mac: Tertekan dengan karenah pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) yang banyak 'songeh' lagi menyusahkan, salah seorang pelanggan bank itu akhirnya terpanggil untuk mengadu dengan Harakahdaily.

Dalam surat yang diemelkan kepada Harakahdaily, pelanggan BSN yang dikenali sebagai Nadia Natrah Sabli menceritakan bagaimana beliau dipermainkan dan diperlekehkan oleh pegawai bank di bahagian Kawalan Kredit BSN.



Selain Harakahdaily, dia juga mengadu kepada media lain di samping pihak-pihak yang dirasakan beliau dapat membantu.

Nadia, 27, menghadapi masalah hutang kad kredit yang kini mencecah RM6,149.06, bagaimanapun beliau berusaha untuk melangsaikan hutangnya itu dengan membuat permohonan agar faedah yang dicaj dapat dikurangkan.

Beliau memohon untuk menjelaskan hutang kad kreditnya sebanyak RM3,800, kerana masalah kewangan yang dihadapinya. Had kad kreditnya hanya RM3,000.

Malangnya, usaha beliau itu menghadapi masalah kerana pihak BSN tidak mahu menunjukkan kerjasama baik.

Dalam pertemuan dengan pihak bank, pegawai berkenaan memberikan diskaun sebanyak RM600 daripada baki semasa di mana Nadia perlu menjelaskan RM5,500, namun Nadia masih tidak mampu menjelaskan.

"Saya teliti dan ambil kira jumlah penggunaan, caj guaman dan jumlah faedah sehingga kad kredit dihentikan amaun sebenar hanya RM3,800 sahaja," luahnya dalam surat tersebut.

Atas sifat tanggungjawabnya, Nadia masih berusaha untuk melangsaikan hutangnya dan sekali lagi Nadia merayu dan menegaskan beliau tidak mampu akhirnya pegawai berkenaan memperlekehkan beliau dengan mencadangkan beliau meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya rasa terhina dengan kata-kata seorang pegawai di sebuah bank yang cukup dikenali," tambahnya.

Tidak cukup dengan itu, pegawai BSN itu pula menakut-nakutkannya dan memberitahu beliau akan ditangkap kemudian dipenjarakan dan rumah pula akan disita.

"Beliau seolah-olah menakutkan dan mengugut Saya. Walaupun begitu saya masih merayu supaya dikurangkan jumlah pembayaran tetapi beliau terus memperlekehkan saya dengan menyuruh saya memberi lima sebab mengapa jumlah perlu dikurangkan," luah Nadia.

Paling mengecewakan Nadia, pegawai terbabit mengatakan BSN adalah bank kerajaan dan kerajaan tidak boleh menanggung kerugian.

Nadia cuba merayu untuk berbincang dengan pegawai atasan tetapi beliau tidak dibenarkan sama sekali, kerana pegawai itu tidak mahu memberi kerjasama dan bertoleransi dengan beliau.

Berbeza dengan bank-bank lain seperti Hong Leong Bank (Eon Bank Kredit Kad), di mana Nadia juga pernah berhutang kad kredit yang jauh lebih besar jumlahnya iaitu RM9,500.

Tetapi, Nadia berjaya menjelaskan kesemua hutang kad kredit Hong Leong Bank dengan hanya membayar sejumlah RM3,800.

"Pihak Hong Leong lebih mudah berurusan dan membantu serta memberikan kerjasama dengan saya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Jika BSN adalah bank kerajaan, mengapa Nadia sebagai rakyat negara ini diperlakukan sedemikian? Bukankah kerajaan selalu melaungkan slogan 'rakyat didahulukan!', bagi Nadia jika ia bank kerajaan sepatutnya tolong rakyat bukan peras ugut rakyat.

Rabu, 21 Mac 2012

TANAH RIZAB MELAYU: KELANTAN SAMAN UTUSAN




(Laporan Utusan hari ini yang membawa tindakan saman ke atas akhbar itu)

KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan (gambar bawah), Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.


(Tiga Exco Kelantan dalam sidang media mereka hari ini)


Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Ahad, 26 Februari 2012

NIZAR ZIARAH KELUARGA PELAJAR DIROGOL, BUNUH



TAIPING, 26 Feb: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama masyarakat Trong terkejut dengan tragedi yang menyayat hati apabila seorang pelajar ditemui mati.

Mangsa, Nurul Aien Mohd Saimon,16, disyaki dirogol sebelum dibunuh di kediamannya Kampung Batu 9, Jalan Trong Changkat Jering.

Pelajar SMK Dato' Wan Rasdi itu ditemui mati di dalam bilik air, petang kelmarin.

(Gambar: Nizar meninjau bilik air di mana mangsa disyaki dirogol dan dibunuh.)

Menurut laporan polis, dua suspek telah telah diberkas untuk siasatan lanjut.

Justeru, Nizar bergegas ke rumah mangsa untuk menziarahi jenazah dan keluarganya.

Mantan Menteri Besar itu berkata, kejadian tersebut amat memeranjatkan dan beliau melahirkan rasa dukacita dengan kejadian penuh tragis dan kejam itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap dapat bersabar dengan kejadian ini. Saya mendoakan dosa Nurul Ain diampun oleh Allah dan rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya.

Nizar telah menyampaikan bantuan sedikit bantuan kepada keluarga mangsa. (Gambar kiri.)

Media hari ini melaporkan mayat pelajar tingkatan empat itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian.

Khamis, 23 Februari 2012

SABAH SEBENARNYA PALING MISKIN- HUSAM



KOTA BHARU, 23 Feb: Pakatan Rakyat akan menumpu strategi bagaimana untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini dan bukannya untuk mendedahkan negeri mana yang paling miskin.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, berkata pendedahan terhadap negeri mana yang paling miskin membuktikan kegagalan sebagai pemerintah.

Beliau berkata demikikan kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tuan Razak yang mendakwa Kelantan negeri paling miskin di negara ini sewaktu berucap di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

“Dalam PAS, di mana saya selaku Pengerusi Menifesto Pilihanraya, tugas kami bukan untuk mendedahkan negeri mana paling miskin sebaliknya bagaimana mengurangkan kemiskinan,”ujarnya.

Beliau juga turut menolak kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa Kelantan negeri paling miskin memandangkan isu itu sudah lama dijelaskan.

“Saya sebenarnya sudah jemu untuk memberi fakta berhubung perkara ini.

“Waktu mesyuarat di Jabatan Perdana sendiripun fakta-fakta yang jelas telah dikeluarkan berhubung kedudukan tahap negeri di negara ini.

Menurut Husam kenyataan Perdana Menteri berupa satu penghinaan terhadap negeri dan rakyat Kelantan disamping bertujuan politik.

Tambahnya, pada masa yang sama untuk menyedapkan rakyat Sabah kononnya negeri itu kaya walhal mereka negeri paling miskin di negara ini.

“Selain Sabah, turut disenaraikan paling miskin Sarawak, Terengganu. Malah Kelantan menduduki tempat keenam dari atas,”ujarnya.

Ekoran kenyataan Perdana Menteri, Husam turut menempelak Najib yang telah menjadi wakilrakyat hampir 30 tahun tetapi gagal membawa agenda pembaharuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

“Saya rasa ada sesuatu yan tidak kena dengan pendekatan itu.

“Malah baru ni pun Perdana Menteri sendiri menyampaikan bantuan zakat dalam Parlimen Pekan, selepas jadi Adun, Ahli Parlimen, timbalan menteri, Menteri Besar, menteri dan kini Perdana Pernteri, tetapi masih menyampaikan zakat dalam parlimen sendiri,”ujarnya.

Tambahnya, ini menunjukkan Najib gagal mengatasi masaalah kemiskinan di tempat sendiri apa lagi Malaysia

Rabu, 22 Februari 2012

PENYENARAIAN FGVH BAHAYA KEPADA PENEROKA-KU LI



KUALA LUMPUR, 22 Feb: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat usaha kerajaan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia sesuatu yang bahaya kepada masa depan peneroka.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yang ditemui Harakahdaily semalam berkata, beliau diberitahu banyak pihak bahawa apabila disenaraikan, bererti pemilikan harta khususnya tanah peneroka akan terdedah kepada pasaran terbuka.

Apabila terdedah di pasaran terbuka katanya, sesiapa sahaja termasuk pihak asing boleh datang untuk membeli saham tersebut dengan berapa harga sekalipun sekiranya mereka mampu.

Ianya akan menyebabkan peneroka bakal berdepan resiko kehilangan aset tanah-tanah mereka sekiranya pemegang saham menjual pegangan mereka.

"Kalau harga melonjak naik, pemegang saham nak rasa keuntungan, sudah tentu dia akan jual (kepada pihak lain)... bodoh la kalau tak jual untuk ambik kesempatan keuntungan.

"Akhirnya tanah yang kita miliki dahulu sudah hilang kerana orang lain sudah memiliki saham yang mempunyai hak ke atas tanah milik kita dahulu. Itu suatu yang bahaya!," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li.

Difahamkan, menurut pelan penyenaraian yang dijadual Mei ini, sebanyak 360,000 hektar tanah Felda Palantation dipajak kepada FGVH selama 99 tahun.

Selain kebimbangan hilang hak milik tanah, turut difahamkan Felda juga dijangka akan mengalami defisit tahunan sebanyak RM1.5 bilion apabila menyerahkan tanah kepada FGVH.

Malah, mengulas lanjut, Ku Li yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, jika nasib mereka tidak baik, peneroka mungkin akan diusir dari tanah yang mereka diami dan usahakan selama ini.

"Ini mati hidup peneroka ke atas tanah yang mereka telah usahakan selama ini. Kalau tanah itu dijual oleh kerana saham dijual, maka kita tak ada lagi hubungan dengan tanah itu malah tak ada hak pun nak duduk di situ.

"Saya tak tahu kerajaan ada cara lain untuk menjamin hak peneroka supaya kekal, tetapi saya tak nampak," katanya yang juga presiden NGO Amanah.

LIHAT VIDEO
Penyenaraian: Peneroka berisiko hilang tanah

Rabu, 8 Februari 2012





HASAN ALI DAN SAYA

Khalid Samad, 08 Feb 2012

Ada yang berpandangan saya tidak perlu melayan segala dakwaan Hassan Ali terhadap diri saya. Mereka kata biarlah dia meroyan seorang diri, semakin dia meroyan, semakin terserlah keperibadiannya yang sebenar. Saya akui, ada kebenaran nasihat dari kalangan sahabat saya itu. Pada masa yang sama, saya dapati kali ini dakwaan beliau terlalu melampau, jauh melepasi batas ‘adaabul ikhtilaf’ yang perlu dihayati oleh mereka yang takut kepada azab Allah. Walaubagaimanapun, bagi yang mempunyai maklumat, walaupun sedikit, dakwaannya pasti akan ditertawakan sahaja.

Namun, bagi yang tiada maklumat langsung dan mungkin ramai juga yang begini, mereka mungkin termakan dengan tuduhan liar yang dibuat olehnya. Oleh itu, pada pendapat saya, jawapan terhadap tuduhan liar tersebut, khususnya tuduhan beliau terhadap diri saya, perlu dikemukakan. Oleh yang demikian, bagi memahami dengan jelas persoalan ini, maka perlu disingkap sedikit sejarah saya bersama Hassan Ali.

Sebelum itu, ingin saya sebut bahawa saya pernah fikirkan kesesuaian perkataan dalam beberapa istilah bahasa Melayu, termasuk istilah ‘gila talaq’. Saya hairan mengapa nenek moyang kita memilih perkataan ‘gila’ dalam istilah berkenaan sedangkan beberapa perceraian pasangan suami isteri yang saya lihat sebelum ini tiada yang menzahirkan kelakuan yang boleh disifatkan sebagai ‘gila’. Namun dalam kes Hassan Ali ianya menjadi jelas dan adalah terbukti bahawa perkataan gila amat tepat untuk diguna-pakai. Memang ada yang apabila ‘ditalaq’ menjadi gila. Pendekata, Hassan Ali sudah ‘gila talaq’ dan dalam kegilaannya, meroyan dan meracau tidak ketentuan.

SEJARAH RINGKAS

Saya dan Hassan Ali bukan baru berkenalan. Sebenarnya saya diantara yang paling gembira dengan kemasukan beliau dalam PAS pada tahun 1998. Sebagai orang yang menyertai PAS lebih awal dari beliau, iaitu pada tahun 1983, saya telah sambut kemasukan beliau dan membantu beliau setakat mana yang saya mampu. Sebagai seorang ‘baru’ dalam PAS, penerimaan beliau oleh orang ‘lama’ seperti saya pasti memudahkan pergerakan beliau di kalangan ahli lama yang lain.

Saya sering berceramah bersama beliau dan pada tahun 2003, apabila beliau dilantik Pesuruh Jaya PAS Selangor buat kali pertamanya, saya dilantik beliau sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor. Hubungan dan kerjasama kita menjadi semakin rapat dan pada tahun 2005, apabila beliau dilantik kembali sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi kedua, saya diminta untuk mengambil alih jawatan Bendahari yang dikosongkan oleh Tuan Haji Nasir. Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi ketiga, saya dilantiknya sebagai Timbalan Pesuruh Jaya 2.

Jelas sekali bahawa pada ketika itu saya tidak dianggap beliau sebagai parasit tetapi sebaliknya sebagai orang kanan beliau.

DUGAAN JAWATAN MB SELANGOR

Pada tahun 2008 hubungan kita mula berubah. Perubahan bermula apabila setelah menang saya menolak usaha kerjasama dengan UMNO yang dikemukakan. Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hassan Ali akan dilantik sebagai Menteri Besar dan itu adalah apa yang ditawarkan oleh UMNO.

Ketika usaha kerjasama dengan UMNO dijalankan, Hassan Ali pernah bertanya pada saya, “siapa patut menjadi MB Selangor?” Saya jawab sambil memandang terus ke muka beliau, “Tan Sri Abdul Khalid”. Beliau terdiam, perasaan kecewa jelas kelihatan terbayang di mukanya. Mungkin beliau merasakan saya mengkhianati dirinya. Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanannya memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi MB. Mungkin bagi dirinya, itulah peranan seorang kanan. Saya tidak tahu, mungkin itulah yang difikirkannya. Beliau diam dan terus berpaling.

Pasti ada yang masih ingat bagaimana saya telah menggantinya dalam pertemuan dengan Pak Lah dan Khir Toyo. Kami berjaya menggagalkan usaha kerjasama bersama UMNO dan dengan itu cita-cita Hassan Ali untuk menjadi MB hancur berkecai.

Bermula dari saat itu saya merasakan hubungan kami sudah mula berubah dan Hassan Ali mula membawa agenda tersendiri.

MELAGA PAS DENGAN DAP & PK

Selepas Menteri Besar dilantik dan isu itu saya anggap telah selesai, saya melihat Hassan Ali berusaha untuk menimbulkan ketidak-stabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor. Beliau berusaha untuk mencari peluang untuk menunjukkan perbezaan di antara PAS dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran di antara parti komponen PR. Saya beranggapan niatnya adalah untuk membuktikan kerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang mustahil.

Saya sering menegurnya dan meminta supaya ditumpukan pada persamaan yang banyak di dalam PR. Saya ingatkan beliau akan keputusan muktamar PAS yang diadakan di Ipoh supaya PR dikukuhkan. Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu.

SAYA DIPECAT SEBAGAI TPJ

Akhirnya, oleh kerana saya sering menegurnya, saya dipecat dari jawatan Timbalan Pesuruh Jaya 2 PAS Selangor pada pertengahan tahun 2008. YB Iskandar dinaikkan pangkat menjadi TPJ 2 dari TPJ 3 dan YB Dr Che Rosli dilantik menjadi TPJ 3. Itu semua saya tidak hairan, itu hak Hassan Ali sebagai PJ. Oleh itu saya tidak menjadikan pemecatan saya sebagai satu isu sepertinya sekarang. Tetapi saya telah sempat berpesan sambil saya keluar mesyuarat setelah dipecat, “ingat keputusan muktamar adalah untuk kukuhkan PR, bukan merosakkannya”.

Walaupun saya bukan lagi TPJ 2, saya tetap YDP PAS Kawasan Shah Alam. Saya tetap merupakan ahli mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Oleh itu saya hadir di mesyuarat Negeri dan setiap kali Hassan Ali menimbulkan isu melalui media untuk melaga-lagakan PAS dengan parti komponen PR yang lain, saya membantah dalam mesyuarat tersebut dan juga melalui media. Ini saya lakukan kerana saya sudah dapat membaca agenda dirinya. Pada masa yang sama, hubungan beliau dengan OKU UMNO semakin kukuh, termasuklah dengan Tan Sri Rozali Puncak Niaga (SYABAS).

TUDUHAN GOLONGAN ERDOGAN

Kumpulan yang menyokong beliau mula mempopularkan istilah ‘golongan Erdogan’. Istilah ini digunakan terhadap diri saya dan beberapa pimpinan Negeri dan Pusat yang lain dan kami dituduh tidak wala’ pada pimpinan dan terlalu kuat menyokong DSAI. Oleh itu, penggunaan istilah yang bertujuan untuk menghina dan menjadikan orang prejudis terhadap saya bukan perkara baru. Dulu Erdogan dan sekarang parasit. Penggunaan nama untuk tujuan menghina merupakan senjata kegemaran golongan seperti ini rupanya.

Kaedah ini membuktikan kerapuhan hujjah pihak yang cuba memburuk saya. Oleh kerana mereka tidak ada hujjah dan tidak mampu berhujjah, maka mereka menggunakan kaedah melabelkan orang atau ‘name calling’.

SAYA DAN HASSAN ALI DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN

Akhirnya perbalahan kami dirujuk kepada PAS Pusat pada tahun 2009. Saya digantung semua jawatan parti selama 6 bulan. Hassan Ali didapati bersalah dan diberi amaran keras supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar kerajaan PR melalui media massa. Kalau ada yang tidak dipersetujui, maka hendaklah dibawa berbincang bukan diheboh melalui media.

Berbeza dengan saya, hukumannya tiada tempoh masa. Ianya berkuat-kuasa selagimana PAS bersama PR.

SOKONGAN HASSAN MERUDUM

Walaupun saya yang dikenakan tindakan yang lebih keras oleh jawatan kuasa disiplin, ahli PAS melihat dan menilai apa yang sedang berlaku. Ramai beranggapan bahawa tindakan Hassan Ali menjejas kestabilan PR dan menguntungkan pihak lawan. Maka pada tahun 2011, semasa pemilihan AJK PAS Pusat dijalankan, sokongan Hassan Ali di kalangan ahli PAS terbukti merudum.

Pada 2009 Hassan Ali mendapat undi yang ke-empat tertinggi semasa pemilihan AJK PAS Pusat. Pada 2011, beliau mendapat undi yang ke 16 tertinggi.

Dalam kes saya pula adalah sebaliknya. Pada 2009 saya tidak terpilih apabila menduduki tempat ke 23 tertinggi sedangkan hanya 18 yang tertinggi akan dipilih. Pada tahun 2011, saya mendapat undi ke 8 tertinggi.

Peribahasa menyatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Inilah apa yang berlaku ke atas diri Hassan Ali pada tahun 2011. Setelah melihat popularitinya jatuh sedemikian rupa, beliau tidak pula dilantik untuk menjawat jawatan PJ Selangor oleh DS Presiden. Pemilihan PJ dilakukan semasa mesyuarat pertama selepas muktamar diadakan. Dalam mesyuarat itu Hassan Ali hadir dan selepas pemilihan dimuktamadkan, beliau terus keluar.

Sokongan beliau terjejas bukan sekadar di kalangan ahli, tetapi jelas, ianya juga terjejas di kalangan pimpinan.

Untuk melengkapkan kekecewaan beliau, pada penghujung tahun 2011, semasa senarai nama dikemukakan oleh cawangan untuk diturunkan sebagai calon dalam PRU ke 13, nama beliau tidak dinaikkan untuk DUN Gombak Setia. Walaupun telah dinyatakan bahawa keputusan belum muktamad dan sekiranya Gombak Setia tidak mahu, maka tempat lain bersedia, Hassan Ali tidak peduli.

Pada ketika itu, mungkin Hassan Ali melihat bahawa masa depannya bersama PAS tidak secerah dahulu. Oleh itu beliau terpaksa menyusun ‘exit strategy’ atau ‘strategi untuk keluar PAS’. Inilah apa yang dapat saya rumuskan berhubung tindakan beliau semenjak peristiwa mutakhir tahun 2011 yang saya ceritakan di atas.

PEMECATAN HASSAN ALI

Bacaan saya berhubung Hassan Ali, persoalan yang paling utama baginya adalah untuk menjadi MB Selangor. Persoalan ini sering beliau sebutkan walaupun sudah bertahun-tahun selepas perlantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai MB Selangor.

Apabila beliau tidak lagi menjadi Pesuruh Jaya, beliau menganggap bahawa peluang beliau untuk menjadi MB melalui PAS sudah lenyap dengan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila tidak menjadi calon di kerusi yang sekuat Gombak Setia. Mungkin beliau menganggap beliau akan diletakkan di kerusi yang sukar untuk dimenangi kerana beliau bukan lagi pimpinan di Negeri Selangor.

Dengan dibekal sangkaan buruk sebegini, Hassan Ali memikirkan cara terbaik untuk beliau melepaskan diri dari berada bersama PAS tetapi dengan cara ‘terhormat’. Tiada cara lain melainkan dengan menyatakan bahawa PAS sudah tersasar dari matlamat asalnya. Ini bermakna bukan beliau yang terpesong tetapi sebaliknya PAS. Bukan beliau yang salah tetapi PAS.

Beliau terus melemparkan tuduhan bahawa PAS telah tersasar dari landasannya berkali-kali melalui media perdana dan walaupun dinasihati untuk berhenti oleh pimpinan tertinggi, beliau terus melakukannya. Oleh itu, tidaklah hairanlah apabila beliau dipecat. Beliau bukan sekadar melanggar amaran keras yang pernah diberi kepada beliau sebelum ini, beliau melampauinya.

Apabila dipecat, pada mulanya Hassan Ali mengatakan beliau tidak kisah. Selepas itu beliau kata mungkin beliau akan merayu. Selepas itu dikatakan tidak akan merayu. Begitu juga dengan pemecatan beliau sebagai exco. Pada mulanya dikatakan tidak mengapa. Kemudian ditulis surat kepada MB menyatakan tempoh rayuan belum habis. Selepas itu dikatakan tiada yang mampu melainkan dirinya. Akhirnya berkata tidak mengapa juga.

KENAPA SAYA YANG DISASARKAN

Dalam kemelut yang terhasil, Hassan Ali melihat saya sebagai punca kejatuhannya. Oleh itu saya disasarkan beliau. Dalam serangan beliau terhadap diri saya, Hassan Ali tidak kisah samada apa yang dikatakan adalah benar atau sebaliknya. Namanya roadshow untuk mempertahankan aqeedah tetapi saya dan pimpinan PAS menjadi sasaran. Mungkin beliau tidak tahu maksud perkataan ‘aqeedah’ itu dan dianggap apa sahaja yang keluar dari mulutnya adalah aqeedah. Itu saya tidak pasti.

Yang pasti beliau telah menunjukkan akhlak yang paling tercela dengan membuat tuduhan dan fitnah terhadap diri saya bahawa saya di antara yang merosakkan aqeedah ummat Islam. Dituduhnya juga saya sebagai orang yang menghalang pengharaman jualan arak, penutupan kedai judi dan rumah urut (pelacur) di Shah Alam. Amat jelas bagi saya Hassan Ali sudah gila talaq.

Bagaimanakah boleh saya menghalangnya? Kuasa apa yang ada pada saya? Saya PJ atau dia? Saya exco atau dia? Kalau benar saya ada kuasa untuk menghalang, kenapa tidak saya menghalang diri saya dari didakwa JAIS atas tuduhan mengajar tanpa tauliah?

Dalam soal pengharaman penjualan arak di kawasan ummat Islam dominan seperti di kawsan Shah Alam asal, ianya telahpun dilaksanakan tanpa kekecohan, dengan persetujuan pihak peniaga. Sebenarnya yang merampasnya dulu pun adalah pihak penguat-kuasa MBSA, bukan JAIS. MBSA bukan dibawah Hassan Ali tetapi beliau tumpang sekaki untuk dijadikannya isu.

Pada masa itu semua Ahli Majlis, termasuk yang dari DAP, telah bersetuju supaya penjualan minuman keras akan diharamkan di kawasan tersebut. Mereka hanya menunggu untuk menguatkuasakannya apabila lessen diperbaharui. Rancangannya ialah supaya disebut secara khusus larangan berkenaan dalam lessen baru. Tidak sempat lessen mati, pihak penguat-kuasa bertindak tanpa arahan dari pihak MBSA. Hanya atas arahan seorang ahli Majlis lama.

Hakikatnya kita berbeza dari segi pendekatan. Hassan Ali suka gunakan kuasanya dan suka memaksa sedangkan saya lebih cenderung kepada kaedah dakwah dan mendidik. Terhadap yang Islam dan yang bukan Islam.

KESIMPULAN

Melalui tulisan ringkas ini saya ingin memberitahu semua bahawa Hassan Ali sudah gila talaq. Maka jangan percaya apa yang dinyatakan beliau. Beliau sanggup berbohong dan memutar-belit semua perkara. Lagi beliau cakap lagi jelas kegilaannya.

Hadis Rasulullah (SAW);
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
<“Terdapat pada orang beriman semua jenis kekurangan, kecuali khianat dan berdusta” (Dari Ahmad, Baihaqi dari Saad Bin Abi Waqas).

Hadis ini diketengahkan bukan untuk menafikan keimanan mana-mana pihak. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan betapa kejinya sifat khianat dan berdusta.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Ahad, 15 Januari 2012

PAS HANTAR NAMA CALON GANTI HASAN ALI KEPADA MB SELANGOR



KUALA LUMPUR, 16 Jan: PAS Pusat telah menghantar nama calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor kepada Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, beliau menghantar nama calon berkenaan telah menerima nama itu daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“PAS Pusat telah buat keputusan tentang orang yang akan menggantikan Datuk Hasan Ali dan saya telah menerima nama itu daripada Presiden dan nama itu telah pun saya maklumkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor sekitar pukul 12.30 tengah hari.

“Dan saya pun dah berhubung Pejabat Menteri Besar dan dah dimaklumkan mereka terima makluman itu,” katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun tidak bersedia mendedahkan nama calon yang dicadangkan itu.

“Tapi untuk hari ini, saya rasa saya tak sedia untuk memaklumkan nama itu sekarang kerana urusan selanjutnya urusan kerajaan negeri dengan DYMM Sultan Selangor,” ujarnya lagi.

Jelasnya, terserah kepada pihak-pihak berkenaan untuk mengambil langkah selanjutnya.

Semalam, beliau memberitahu Presiden PAS akan membuat keputusan calon bagi menggantikan Hasan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Belia berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor.

"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," katanya.

Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.

Bagaimana pun, malam semalam Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.

Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi menggantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

Khamis, 12 Januari 2012

RASHID, HUSAM DEDAH MISTERI DAKWAT KEKAL PRU 12



KOTA BHARU, Jan 13: Misteri pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12 telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.

(Gambar: Wacana Perdana di KTC malam tadi)

Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.

“Usahlah cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang tidak bersetuju dia sekat.

“Jadi ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR. Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.

Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”

Rashid pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak ketawa.

Menjawab Rashid, Nazri mengaku bahawa beliaulah antara orang yang mempertikaikan penggunaan dakwat kekal kerana berdasarkan perlembagaan negara, perkara yang melayakkan seseorang itu mengundi hanya dua – berumur 21 tahun dan berdaftar sebagai pengundi.

“Jadi, kalau ada seorang yang tak mahu dakwat kekal dicalit di jari dan mahu kertas undi, apa yang berlaku? Syaratnya cuma dua, berumur 21 tahun dan berdaftar. Disebabkan itu, dan waktu PRU dah dekat, SPR ambil pendekatan untuk batal penggunaan dakwat kekal,” terang Nazri mengenai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan.

Mengenai persoalan mengapa dakwat kekal digunakan sekarang pula, Nazri berhujah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru sahaja memberikan lampu hijau untuk penggunaan dakwat kekal dan peguam negara bersetuju untuk tukar perlembagaan untuk membolehkannya.

“Sekarang Majlis Fatwa baru umum benarkan, maksudnya dulu tak pernah umum lah, kalau tak mengapa nak umum dua kali,” sindir Nazri.

Menjawab dakwaan Nazri mengenai halangan perlembagaan, Rashid secara sinis menjawab, “Saya tak setuju bantahan Peguam Negara pada 2007. Dalam perlembagaan pun tak kata mesti tunjuk kad pengenalan (IC) sebelum mengundi. Tapi kita suruh tunjuk IC, kalau tak dia tak boleh mengundi. Itupun dipatuhi. Kalau nak mengundi kena patuhi peraturan dan cara-cara mengundi.”

Dalam kontroversi Majlis Fatwa Kebangsaan, Husam mengingatkan Nazri bahawa fatwa sudahpun dikeluarkan pada 2007, dan semua ini boleh disemak melalui web e-fatwa di Internet.

“Tan Sri Rashid baru berbisik kepada saya, SPR ada menerima surat daripada Majlis Fatwa mengenai hal itu pada tahun 2007. Macam mana seorang menteri tak tahu mengenai hal ini? Wallahuaklam,” kata Husam.

Kemudian, exco kerajaan Kelantan turut mengingatkan Rashid mengenai alasan yang diberikannya kepada rakyat ketika pembatalan dakwat kekal bahawa terdapat laporan ada pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya dengan menyeludup sejumlah besar dakwat kekal ke negara ini.

“Pada 5 Mac 2008, Tan Sri keluar di kaca TV memberikan 2 sebab mengapa dakwat kekal tak jadi guna. Dia memberi sebab keselamatan kerana ada orang ditangkap membawa dakwat ini termasuk di Kelantan.

"Ketua Polis Tan Sri Musa Hasan pula mengesahkan adanya dakwaan tersebut. Dan kemudian ditanya ahli parlimen Pakatan Rakyat selepas Mac 2008, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan tiada tangkapan tersebut dan tiada dakwaan dibuat. Bermakna, Tan Sri Rasyid telah dipaksa berbohong,” selar Husam.

Husam turut berkata keputusan menggunakan dakwat kekal kini adalah hasil perjuangan Bersih 2.0.

“Yang berikan hujah yang kata dakwat kekal boleh digunakan untuk PRU akan datang ini ialah Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang dulunya memberikan nasihat yang sama tak boleh pakai. Peguam Negara yang sama yang dulu kata tak boleh pakai, tetapi kini boleh pakai, bermakna ada sesuatu yang lompang kepada sistem piliharaya ini.

"Yang lebih penting ialah, bila Tan Sri Ghani Patail kata boleh pakai sekarang, ini adalah hasil daripada Bersih. Kalau tak ada Bersih, tak adalah dakwat kekal kini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Rashid berkata undang-undang pilihanraya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana SPR tidak diberikan kuasa sepenuhnya.

“SPR kena share kuasa, jadi demokrasi negara tak lengkap. Orang lain berkuasa, polis berkuasa, kementerian penerangan berkuasa... bukan Umno berkuasa (gelak hadirin), tapi mereka tak bebas,” kata beliau.

Keterangan Rashid dipersetujui Husam.

“Setuju kuasa SPR tak mencukupi, jadi pemulihan PSC (Jawatankuasa Terpilih Parlimen) tidak kena pada core (tunjang) nya (memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk laksana undang-undang pilihanraya).”

Rabu, 11 Januari 2012




JUMPA HASAN: ISMAIL KAMUS MAHU SAMAN MEDIA



KUALA LUMPUR, 12 Jan: Bekas Adun Gombak Setia, Datuk Ismail Kamus menafikan dakwaan pihak media kononnya beliau hadir pada sidang media Datuk Dr Hasan Mohd Ali di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, 8 Januari baru-baru ini.

Beliau bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media yang melaporkan berita palsu itu, lapor Harakah cetak yang sedang dalam pasaran sekarang.

“Ketika sidang media Hasan, pada hari Ahad saya dimasukkan ke Hospital Pantai kerana demam panas dan pagi tadi (10 Januari) saya baru keluar hospital,” katanya.

Menurut beliau, tidak ada sesiapa yang menghubunginya untuk menghadiri sidang media Hasan.

“Ini amat mengaibkan saya. Saya dikata bersekongkol dengan Hasan, ini tidak cantik. Nama saya sudah dikotorkan,” kata Ismail Kamus, bekas Adun Gombak Setia itu.

Ismail yang juga Tokoh Maal Hijrah Selangor untuk tahun 1433/2011 itu menang kerusi Dun Gombak Setia dalam pilihan raya umum 1999 atas tiket PAS.

Buletin Utama TV3 dan Astro Awani dalam laporan mereka berkata, majlis Hasan Ali yang diadakan di rumah beliau selepas beliau dipecat turut disertai oleh Ismail.

Selain itu, timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan anggota Parlimen Baling Ustaz Taib Azamudin juga dilaporkan menyertai majlis itu yang turut disertai oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam menjelaskan, tiga pemimpin PAS itu tidak berada dalam majlis di rumah Hasan Ali itu.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan semalam.

Selasa, 10 Januari 2012


CATATAN ANWAR DARI MUMBAI

Saya dan Azizah tiba di Mumbai dan menuju Panchgani sebagai tetamu kepada sahabat lama, Rajmohan Gandhi, penyala obor perjuangan datuknya, pejuang besar India Mahatma Gandhi.

Lebih tiga bulan lalu saya berjanji untuk bersama beliau menyemarakkan semangat perjuangan Gandhi bagi menegakkan demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat serta menolak kezaliman dan rasuah.

Sepanjang dalam perjalanan selama tiga jam, saya menerima ribuan panggilan telefon, mesej dari Twitter dan Facebook, komen di blog serta SMS dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan dunia yang menyatakan kesyukuran dan rasa gembira.

Fikiran saya melayang mengenangkan wajah gelisah, sedih, derita keluarga dan rakyat terutama di saat cemas menunggu penghakiman pagi semalam.

Alhamdulillah, saya bersykur kerana setelah sekian lama difitnah dan diaibkan oleh pemimpin dan media Umno, Hakim Dato' Zabidin Mohd Diah memutuskan -- berlandaskan undang-undang dan fakta -- bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima. Malah keterangan forensik dan DNA yang dikemukakan pihak pendakwaan turut dipertikaikan kesahihannya.

Saya tidak berhasrat menyingkap permasalahan lalu atau memberikan sebarang tafsiran mengapa penghakiman mengejutkan ini berlaku. Walaubagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana saya bebas dari fitnah jahat sedemikian.

Kasih sayang Azizah dan keluarga; kesetiaan rakan-rakan KEADILAN; dukungan PAS dan DAP; para reformis dan sokongan dan iringan doa rakyat bukan saja ibarat penawar malah membajai penyuburan semangat dan daya juang saya.

Seperti lazimnya saya tidak cenderung untuk merintih kisah derita silam malah sedia memaafkan. Hanya yang dimasyghulkan ialah kebiadaban gerombolan kecil termasuk media UMNO yang berdendam kesumat dan terus memfitnah saya.

Saya ingin mengajak saudara-saudari bersama rakyat Malaysia untuk melonjakkan perjuangan menuntut kebebasan rakyat; pemerintahan yang telus dan adil; ekonomi yang dipacu segar tetapi mempedulikan nasib rakyat serta menolak keangkuhan kuasa dan rasuah.

Kami sekeluarga amat terharu dengan luahan simpati dan dukungan semua. Semoga usaha murni kita bersama direstui dan diberkati Allah SWT.

Ikhlas dari,
Anwar Ibrahim

Rabu, 28 Disember 2011

NIK AZIZ KESAL FITNAH LARANG AMBIL WANG RM 500



BACHOK, 28 Dis: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita terhadap spanduk yang mendakwa beliau melarang rakyat negeri ini mengambil wang RM500.

Katanya, sejak awal lagi beliau telah mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat d negeri itu mengambil wang berkenaan.

"Saya dah cakap sebelum ni kan, ambillah wang RM100 ke RM500 ke RM1,000 ke, sebabnya tu duit kerajaan. Mereka berhak mengambilnya.

"Kain rentang tu dibuat oleh mereka yang kecewa dan tak ada modal untuk menyerang orang lain,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat hakisan pantai di Pantai Irama, dekat sini.

Hadir sama dalam lawatan itu anggota-anggota exco kerajaan negeri Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman dan Che Lah Md Nawi, Adun Perupok, Datuk Omar Mohamed dan lain lain pimpinan negeri.

Beliau mengulas spanduk yang dipasang di negeri itu kononnya beliau melarang rakyat negeri ini mengambil wang itu kerana ianya haram.

Di Terengganu juga timbul isu yang sama di mana tersebar berita kononnya wang itu haram diambil rakyat kerana ianya wang rasuah.

Namun seorang penceramah bebas berkata, ia haram kalau wang itu bertujuan rasuah agar mengundi BN tetapi kalau ia diambil dan tidak undi BN tidak ada masalah.

Pusat perlu bantu

Sementara itu, Nik Abdul Aziz dalam kunjungannya melihat hakisan pantai itu berharap Kerajaan Pusat berusaha menyelesaikan masaalah hakisan ombak kerana ianya boleh mengancam keselamatan penduduk.

"Pada masa yang sama kerajaan negeri melalui JPS juga akan membantu menyelesaikan masaalah ini,"ujarnya.

Selasa, 27 Disember 2011

PILIHANRAYA UMUM MAC DEPAN

KUALA TERENGGANU, 27 Dis: PAS menjangkakan pilihan raya umum ke 13 akan diadakan Mac tahun depan dan mahu semua peringkat parti membuat persiapan terbaik.

"Kali ini saya agak yakin berbanding dengan tarikh-tarikh sebelum ini," kata ahli politik veteran PAS yang juga Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Beliau berkata demikian dalam satu majlis makan malam dekat sini baru-baru ini.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan media dan ramalan awal tentang status ekonomi negara.

"Bagi saya, Umno akan timbang dua perkara kali ini sebelum mengadakan pilihan raya iaitu keadaan dalam Pakatan Rakyat yang sedang diserang.

"Satu lagi, kedudukan ekonomi yang dijangka bermasalah tahun depan ekoran krisis ekonomi dunia khasnya di Amerika dan Eropah.

"Sebelum Malaysia terasa kesannya, baik buat pilihan raya dulu," kata Mustafa dalam ucapannya itu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua organisasi dalam PAS membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

"Najib sudah isytiharkan, ini adalah ibu kepada segala peperangan (mother of the batle), yang tidak pernah dirasai BN sebelum ini, jadi kita mesti membuat persiapan terbaik," katanya.

Mustafa bersetuju, ramai pemimpin dan Umno sangat terpengaruh dengan teori R.A.H.M.A.N yang menghasilkan Datuk Seri Najib perdana menteri di kalangan Umno yang terakhir.

Teori R.A.H.M.A.N adalah teori berdasarkan turutan perdana menteri Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib.

Sehubungan itu, Mustafa meminta semua ahli PAS memberikan fokus sepenuhnya untuk memenangi pilihan raya kali ini khasnya di Terengganu.

Bagi beliau, Umno Terengganu sudah terlalu kekeringan idea dalam menghadapi PAS sehingga terpaksa menimbulkan kembali isu yang sudah berlangsung puluhan tahun lalu iaitu isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman.

Ia dibangkitkan dalam satu titah Tuanku Sultan Terengganu di sebuah masjid baru-baru ini yang antara lain kesal kerana masih ada pihak yang tidak bersembahyang di masjid kawasan masing-masing.

Namun isu ini dijawab dengan mudah oleh penduduk kariah masjid Pengadang Baru dekat sini.

Masjid Pengadang Baru adalah masjid kerajaan negeri tetapi jawatankuasa dan imannya di kuasai oleh pemimpin PAS tempatan.

Ekoran itu, ramai pemimpin Umno tempatan tidak sembahyang termasuk sembahyang Jumaat di masjid itu.

Antaranya adalah Pengerusi JKKK Pengadang Baru yang sembahyang di masjid lain iaitu Masjid Kubang Durian.

(Dua orang kanak-kanak remaja menyampaikan sumbangan derma untuk dana pilihan raya kepada Datuk Mustafa Ali sambil diperhatikan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dalam majlis makan malam mengumpul dana Dun Ladang).

Ekoran itu, Mustafa merumuskan Umno sudah kekeringan idea untuk melawan PAS.

Oleh itu, pilihan raya ini disifatkan beliau sebagai masa terbaik untuk PAS merampas kembali Terengganu.

Dalam pada itu juga, Mustafa Ali mengingatkan jentera parti agar tidak mengharapkan masalah ‘dalaman’ Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya.

Justeru itu, kata beliau PAS perlu mempunyai kekuatan sendiri bagi menarik sokongan pengundi dan rakyat seluruhnya.

Menurutnya, meski pun Umno-BN menghadapi banyak masalah termasuk isu perbalahan dalaman parti itu tetapi bukan jaminan kepada PAS pada pilihan raya akan datang.

“Kita (PAS) tidak boleh bergantung dengan isu Umno dan Barisan Nasional ‘berbalah’ (krisis) tetapi kena ada kekuatan kita sendiri,” tegasnya.

Mustafa mahu jentera PAS di semua peringkat bekerja kuat bagi menambah serta memperkukuhkan daftar pemilihnya.

Menurutnya, senario politik hari ini menunjukkan gelombang bukan Melayu Islam agak kuat menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Isnin, 26 Disember 2011

UMNO BESUT KIBAR BENDERA NEGERI SEPARUH TIANG?

BESUT, 27 Dis: PAS Besut melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Umno bahagian yang mengibarkan bendera negeri separuh tiang sejak lebih seminggu lalu.

Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tindakan mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang di pejabat Umno bahagian Besut itu tidak wajar.

Ini kerana, katanya di saat seluruh rakyat jelata gembira dengan keberangkatan pulang Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin kembali memerintah negeri tindakan tersebut amat dikesali.

“Ini tidak harus berlaku di saat seluruh rakyat negeri ini bergembira dengan kepulangan Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk kembali memerintah Terengganu, setelah menamatkan tempoh pemerintahan baginda selama sepenggal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 13,” katanya.

Menurutnya, Umno BN bersikap hiporkrit apabila melenting marah ketika seorang mahasiswa yang berdemonstrasi bertindak menurunkan gambar Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi membisu berhubung bendera Terengganu dinaikkan separuh tiang itu.

“Saya tidak fikir Ketua Umno Bahagian Besut tidak nampak bendera Terengganu berkibar di separuh tiang di hadapan pejabatnya di tengah-tengah bandar Jerteh dalam tempoh waktu yang agak lama.

“Saya juga tidak terfikir bekas Menteri Besar Terengganu (Idris Jusoh) itu tidak dimaklumkan tentang kepulangan Tuanku Sultan Mizan yang telah kembali memerintah Terengganu,” ujarnya.

Katanya, PAS Besut menasihati kepimpinan Umno bahagian agar segera mengembalikan semula bendera negeri Terengganu pada kedudukan asal dengan baik.

Bookmark and Share

Jumaat, 23 Disember 2011

REEZAL MERICAN DITUNTUT MOHON MAAF 24 JAM

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Naib Ketua Pemuda Umno Kepala Batas, Reezal Merican dituntut memohon maaf kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam tempoh 24 jam melalui akhbar Utusan Malaysia, ekoran kenyataan fitnahnya terhadap mahasiswa.

Sekiranya Reezal tidak memohon maaf dalam tempoh yang ditetapkan, SMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap beliau melalui saluran perundangan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Abd Razab berkata, tuntutan tersebut dibuat berikutan kenyataan fitnah Reezal yang mengatakan mahasiswa telah memijak bendera Perdana Menteri seperti yang disiarkan Utusan Malaysia pada 21 Disember lalu.

Menurutnya, kenyataan Reezal itu dilihat berniat jahat dengan cuba memburukkan SMM dan memberi persepsi negatif terhadap isu yang dibawa oleh Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).

Katanya, realiti sebenarnya, bendera Perdana Menteri hanya diturunkan dalam tempoh masa kurang lima minit dan kemudian dinaikkan semula dalam keadaan baik.

"SMM juga melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin kerajaan dan pemimpin Umno terlalu dangkal kerana hanya bersifat sentimen sokongan terhadap Perdana Menteri.

"Kenyataan mereka itu tanpa mengulas langsung mengenai kebebasan akademik yang diutarakan oleh mahasiswa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Sementara itu, tegasnya, SMM mengecam sekeras-kerasnya pihak yang mengancam dan mengugut Adam Adli berikutan protes yang dilancarkan terhadap Perdana Menteri.

SMM melihat perbuatan tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan menyalahi prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Katanya, SMM menghormati hak setiap pihak untuk mengkritik dan bersuara namun perbuatan mengugut sehingga ancaman bunuh bukanlah perkara yang wajar dan hanya mengeruhkan keadaan.

"SMM khususnya Adam Adli tidak akan berganjak daripada pendirian untuk tidak memohon maaf kepada Perdana Menteri walaupun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab terus memberi ugutan dan ancaman.

"Hal ini kerana tindakan menurunkan bendera PM pada 17 Disember lalu dilakukan dengan penuh sedar dan didasari dengan mesej yang jelas untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," tegasnya.

SMM, tambahnya, menggesa pihak polis bertindak tegas terhadap pihak yang mengugut Adam dengan ancaman bunuh bagi memelihara suasana demokrasi negara agar sentiasa dipagari kedaulatan undang-undang.

Sidang media itu diadakan selepas beliau menemani Adam memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selama sejam.

Turut menemani Adam, peguam Fadiah Nadwa dan pemimpin Bebas

Khamis, 22 Disember 2011


MAHKAMAH HUKUM KHIR TOYO DIPENJARA 12 BULAN

SHAH ALAM, 23 Dis: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah empat tahun lalu.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Ekoran itu, mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara berkuatkuasa hari ini, serta memerintahkan harta terbabit dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Rabu, 30 November 2011

LAGI DAKWAAN PENIPUAN DALAM DAFTAR PEMILIH



KUALA LUMPUR, 1 Dis: Seorang lelaki yang berhasrat untuk mendaftarkan namanya sebagai pengundi terkejut apabila mendapati nombor kad pengenalannya telah didaftarkan atas nama individu lain.

Malaysiakini melaporkan, lelaki berkenaan yang berusia 38 tahun dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor berkata, sebaik beliau melakukan semakan di laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati nombor kad pengenalannya telah didaftarkan sebagai pengundi di Kuala Krai, Kelantan.

NONELebih menimbulkan tanda tanya apabila nama individu yang tertera dalam senarai itu, dipaparkan sebagai Zulkifly Mohamed Yusof dan turut meletakkan status jantinanya sebagai perempuan.

Perkara berkenaan didedahkan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong, ekoran lelaki berkenaan ke Pejabat Pusat Perkhidmatan DAP Melaka berhubung masalah itu.

Menurut Khoo, ketika semakan pada laman rasmi SPR, didapati nombor kad pengenalan lelaki berkenaan didaftarkan sebagai seorang pengundi di Kuala Krai, Kelantan, dengan menggunakan nama 'Zulkifly Mohamed Yusof,' sedangkan lelaki itu mendakwa tidak pernah menetap di Kelantan.

"Apabila mendapati nombor kad pengenalan barunya telah didaftarkan, kami memeriksa nombor kad pengenalan lamanya pula kerana memikirkan ini mungkin satu kesilapan.

"Bagaimanapun, nombor kad pengenalan lamanya juga turut didaftarkan atas nama orang berkenaan," katanya.

Khoo berkata, satu aduan rasmi telah dibuat semasa pertemuannya dengan pegawai SPR Melaka bagi membolehkan SPR menyiasat perkara berkenaan.

"SPR perlu menyiasat dan memperjelaskan bagaimana perkara ini boleh berlaku.

"Pada masa sama, saya juga menyarankan kepada semua pengundi berdaftar supaya memeriksa daftar pemilih yang terbaru bagi memastikan nama mereka masih ada," katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap SPR, ketika mengesahkan laporan berkenaan, berkata, satu siasatan akan dijalankan sebelum sebarang tindakan susulan diambil






Ahad, 27 November 2011

TIADA PEMIMPIN BUKAN MELAYU BERCITA-CITA JADI PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan agenda perkauman Umno dan beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1Malaysia adalah slogan kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) berkata, yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.

“Malah, Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan.

“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Tegasnya, DAP bukan ancaman kepada orang Melayu tetapi Umno yang menjadi ancaman bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi rakyat Malaysia dengan sikapnya yang menggunakan serta mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menruutnya, dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit seperti pendedahan terkini Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion tanpa apa-apa hukuman dikenakan.

Selain itu, katatanya kontroversi di mana dana awam yang telah diberikan kepada sebuah syarikat yang berkaitan dengan seorang menteri telah digunakan bukan untuk tujuan yang sepatutnya, iaitu untuk penternakan lembu, tetapi sebaliknya telah digunakan untuk pembelian dua kondominium mewah.

“Selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka,” katanya.

Katanya lagi, ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insuran, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu.

Dalam politik pula, ujarnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan orang Melayu, semua menteri besar dan ketua menteri juga Melayu kecuali di Pulau Pinang.

Tambahnya, tidak pernah ada seorang pun pemimpin bukan Melayu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana rakyat Malaysia menerima realiti politik di mana Perdana Menteri Malaysia seharusnya berbangsa Melayu.

Oleh itu, ujarnya ura-ura untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang Melayu sahaja untuk menjadi Perdana Menteri bukan sahaja tidak diperlukan, malah bersifat perkauman kerana menganggap rakyat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua.


Khamis, 17 November 2011















SELANGOR TAK BUBAR DUN

SHAH ALAM, 17 Nov: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memberitahu Dewan Undangan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan jika Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) dilaksanakan kurang dari enam bulan dari tarikh hari ini.

Beliau yang menjelaskan pendirian kerajaan negeri itu dengan hasrat segala apa yang dijanjikan pada Belanjawan 2012 Negeri Selangor dapat di laksanakan sepenuhnya serta memenuhi apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.

"Saya sebagai Menteri Besar hari ini menyatakan pendirian kerajaan negeri bahawa jika pilihanraya umum dilakukan kurang enam bulan maka kita tidak akan sertai tetapi jika sebaliknya Negeri Selangor akan bersama dalam pilihan raya itu.

"Ini adalah ingin memastikan segala apa yang kita janjikan pada belanjawan kali ini dapat dipenuhi sepenuhnya serta rakyat dapat menikmati apa yang telah kita janjikan.

"Banyak yang kerajaan negeri telah janjikan dan kita mahu pastikan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya," jelasnya sewaktu penutup Sidang Dewan Undang Negeri Selangor hari ini.

Khalid memberitahu, setiap pihak jangan memikirkan sebaliknya kerana niat kerajaan yang tidak mahu menyertai pilihan raya itu.

"Kita kena fikir positif dan apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan, untuk apa kita berbahas tentang bajet dan sebagainya jika kita turut sama dalam pilihan raya sehinggakan apa yang dijanjikan pada belanjawan kali ini tidak dapat ditunaikan sepenuhnya," sambungnya lagi.

Dalam masa yang sama Khalid juga meminta setiap pihak menghormati intitusi di negeri ini terutamanya Institusi Raja, Dewan Negeri, Kerajaan Negeri dan rakyat.

Sebagai menjadikan sebuah negeri yang harmoni setiap pihak perlu bekerjasama tanpa ada sebarang sikap prasangka dan yang perlu dilakukan oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat adalah melaksanakan apa yang telah diamanahkan.