KU LI BERTANDING ATAS TIKET PAS.. BELUM DIBINCANG
KUALA LUMPUR, 22 Mac: PAS Kelantan belum berbincang kedudukan anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang sedia bertanding sebagai calon bebas jika tidak dicalonkan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Wan Nik Wan Yusoff berkata, setakat ini pihaknya hanya mengambil maklum perkara itu dan sedang melihat perkembangan berhubung perkara itu dari semasa ke semasa.
"Kita belum bincang perkara itu walaupun pandangan di peringkat pimpinan secara peribadi sudah ada. Tapi merumuskan pandangan-pandangan itu belum ada.
"Setakat ini kita ambil maklum segala perkembangan beliau (Ku Li) dan kita akan lihat dari masa ke masa," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan perkembangan setakat ini berhubung Ku Li berikutan desas desus yang mengatakan kemungkinan bekas Menteri Kewangan itu akan bertanding di Gua Musang atas tiket PAS atau bebas pada PRU nanti.
Ini berikutan tindakan Umno yang mula membayangkan penentangan mereka jika pucuk pimpinan parti itu mahu mengekalkan Ku Li di Parlimen Gua Musang dalam pilihan raya umum akan datang.
Sebelum ini juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ada menyatakan bahawa PAS Kelantan sedia membuka sebarang bentuk perbincangan, namun ia bergantung pada keadaan bagi membolehkan Ku Li bertanding atas tiket PAS atau tidak.
Ianya ekoran pendirian Ku Li yang dilihat konsisten khususnya menyokong tindakan Kerajan Negeri Kelantan menuntut bayaran royalti.
Dalam pilihan raya umum 2008, PAS membenarkan Datuk Ibrahim Ali bertanding atas tiket PAS dan menang dalam pilihan raya itu.
Namun sikap Ibrahim sekarang yang sentiasa menyerang PAS menyebabkan peluang untuk orang lain bertanding sekali lagi atas tiket PAS agak terganggu.
Calon luar
Berhubung senarai akhir calon yang bertanding pula, Wan Nik berkata kesemua nama-nama calon telah diserahkan kepada PAS Pusat untuk dinilai dan diputuskan.
Calon-calon itu menurutnya adalah yang dikemukakan oleh PAS peringkat kawasan masing-masing berdasarkan cadangan dari cawangan masing-masing.
"Calon luar atau tidak, tidak berbangkit kerana bergantung kepada kawasan.
"Kalau kawasan setuju dengan calon itu, maka calon itulah yang dikemukakan kepada kita untuk dibawa ke pusat," katanya.
Dalam pilihan raya 2008, PAS meletakkan tiga calon luar Kelantan bertanding di negeri itu dan kesemua mereka menang.
Mereka adalah Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Salahudin Ayub (Kubang Kerian) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai).
Sehingga kini, Salahudin Ayub dikatakan akan bertanding di negeri asalnya, Johor dalam pilihan raya umum akan datang.