Dr Yunus jaga Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan
SHAH ALAM, 18 Jan: Kerajaan negeri Selangor membuat penyusunan semula portfolio Exconya berikutan perlantikan Dr Ahmad Yunus Hairi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.
Melalui perubahan ini, Dr Yunus akan memegang portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akan memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Asas yang dipegang Hasan Ali sebelum ini.
Melalui penukaran ini juga, Menteri Besar mengumumkan Adun Meru, Dr. Abdul Rani Othman akan memegang jawatan Pengerusi Skimsel (Skim Mikrokredit Selangor) manakala seorang lagi Adun PAS, Dr. Shafie Abu Bakar (Bangi) akan memegang jawatan Pengerusi PADAT (Perbadanan Adat Melayu) Selangor.
Dr Yunus mengangkat sumpah sebagai Exco menggantikan Hasan Ali di depan Tuanku Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan hari ini.
Beliau kemudiannya menyertai mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri.