Jumaat, 16 Disember 2011

PSC: GERAKAN P.PINANG SYOR PILIHANRAYA KECIL JIKA LOMPAT PARTI

December 16, 2011

GEORGE TOWN, 16 Dis — Gerakan Pulau Pinang hari ini mencadangkan pilihan raya kecil diadakan semula jika terdapat wakil rakyat daripada mana-mana gabungan parti politik yang melompat parti ke gabungan parti politik lain.

Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan Pulau Pinang Baljit Singh berkata sebagai contoh, jika wakil rakyat daripada pakatan pembangkang melompat parti ke Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya, pilihan raya perlu diadakan.

“Kita juga cadangkan wakil rakyat berkenaan supaya bertanding semula mewakili parti baru yang disertainya di kawasan yang sama,” katanya pada sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di sini, hari ini.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata pilihan raya tidak perlu diadakan jika wakil rakyat melompat ke parti yang berada dalam gabungan parti politik yang sama.

“Ini bagi memastikan suasana politik yang lebih stabil dan mengelak daripada berlaku rampasan kuasa.

“Kita tidak mahu berlaku cubaan merampas kuasa seperti peristiwa 16 September melalui tindakan melompat parti,” katanya.

Baljit berkata langkah itu juga bagi memastikan hak untuk memilih kerajaan ditangan pengundi dan bukannya wakil rakyat.

“Perkara lompat parti ini selalu berlaku terutamanya ketika tsunami politik selepas pilihan raya umum pada tahun 2008,” katanya.

Beliau juga meminta cadangan penggunaan dakwat kekal diperhalusi dengan memastikan dakwat itu tidak boleh dipadam dan tidak boleh diperoleh dengan mudah.