JANGAN GUNA MEDIA MUSUH , KATA NIK AZIZ

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru semua pemimpin dan ahli parti itu supaya tidak menggunakan media milik musuh politik mereka untuk mengatakan tentang masalah dalaman yang berlaku.
Sebaliknya pemimpin veteran ini meminta agar semua perselisihan pandangan yang berlaku diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan bukan memberikan “peluru” kepada musuh.
“Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.
“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, Insya Allah,” katanya dalam satu kenyataan.
Nik Aziz (gambar) yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai respons terhadap Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor Datuk Dr Hasan Ali, Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit baru-baru ini.
Beliau menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Selaku Mursyidul Am PAS, saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak,” tegasnya.
Menyentuh dakwaan bahawa Negara Berkebajikan yang diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Mukatamar Tahunan parti sebelum ini, Nik Aziz menegaskan ia adalah sesuatu yang tidak berasas.
“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam system pemerintahan,” ujarnya.
Tambahnya, Kelantan yang dipimpin beliau sejak 21 tahun lalu menjadi rekon dan testimoni yang jelas terhadap cita-cita untuk membentuk Negara Berkebajikan.