Khamis, 3 November 2011


TIGA MP BN GESA PUTRAJAYA TAK RAYU, MANSUHKAN SEKSYEN 15 AUKU



Khairy berkata Seksyen 15 AUKU kini telah menjadi “lapuk”.
KUALA LUMPUR, 3 Nov — Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk dua orang timbalan menteri menggesa Putrajaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama mereka menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 15 AUKU dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik dibawa Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung peruntukan itu akan dibawa ke Kabinet, sebelum memutuskan sama ada perlu atau tidak kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Kata beliau, perbincangan teliti akan dibuat di peringkat kementerian, sebelum ia dibawa ke mesyuarat Kabinet, secepat mungkin.

Hari ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA Gan Peng Siew berpendirian bahawa Seksyen 15 AUKU perlu dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik.

Mereka juga menegaskan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu peruntukan 15(5)(a) sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

“Boleh, dengan sendirinya,” kata Saifuddin pada sidang media di Mines Resort City, Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Khairy menambah: “Dengan keputusan mahkamah itu, ia dah jadi lapuk.”

Sementara itu Gan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata, “mahkamah sudah buat keputusan, Seksyen 15(5)(a) sudah tidak wujud. Mahasiswa boleh terlibat dalam politik.”

Saifuddin menambah keputusan sama ada mahu membuat rayuan kemungkinan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok, namun beliau bersama Khairy dan Gan berharap Putrajaya tidak akan membuat rayuan.

“Keputusan nak buat rayuan atau tidak akan dibuat dalam Kabinet esok, mungkin perkara ini akan ditimbulkan. Pertimbangan yang ada sama ada mahu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan atau tidak.

“Kalau buat rayuan dan kemudian mahkamah tolak dari segi moral kita sudah kalah, jadi tidak perlu buat rayuan. Kalau tidak buat rayuan kita perlu teruskan perbincangan untuk meminda AUKU,” katanya.

“Kita letak harapan tinggi kepada kerajaan supaya tidak buat rayuan di Mahkamah Persekutuan, sebagai Pengerusi Pemuda BN saya berpegang seksyen 15 AUKU perlu dihapuskan. Ia perlu dimansuhkan supaya beri kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.

“Kita perlu beri kepercayaan kepada mahasiswa, mereka boleh membezakan dan kendalikan kebebasan itu dengan penuh bertanggungjawab. Harap kerajaan tidak merayu, ambil langkah selari transformasi politik,” kata Khairy.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata AUKU akan terus digunakan meskipun mahkamah memutuskan Seksyen 15(5)(a) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata keputusan sama ada mahu membuat rayuan atau tidak terserah kepada Peguam Negara.

Pada 31 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan AUKU yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencabar peruntukan 15(5)(a) AUKU.

Permohonan itu dikemukakan awal tahun lalu selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil kerusi itu April 2010.