Sabtu, 5 November 2011

MENTERI :PTPTN TAK PATUT HENTI PINJAMAN

November 05, 2011

JOHOR BARU, 5 Nov — Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menghentikan pinjaman perbelanjaan tidak patut kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak berkemampuan.

Sambil menyifatkan cadangan yang akan dilaksanakan mulai 2013 sebagai tidak tepat, Mohamed Khaled berkata, ini kerana kos sara hidup yang dihadapi pelajar IPT khasnya di kalangan mereka yang tidak berkemampuan dan miskin, adalah tinggi.

Khaled berkata, PTPTN belum mengemukakan cadangan itu, tetapi jika ia dikemukakan kementerian akan memperhalusi perkara itu dengan mengambil kira kriteria penuntut yang layak mendapat pinjaman perbelanjaan perbadanan tersebut.

“Saya percaya perlu ada pinjaman untuk menampung sara hidup lebih-lebih lagi kepada golongan yang kurang bernaib baik dan miskin,” katanya dipetik Bernama Online.

Semalam, Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata perbadanan itu bercadang menghentikan pemberian pinjaman perbelanjaan kepada penuntut IPT bagi mengurangkan tanggungannya yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, katanya, pinjaman pembiayaan yuran pengajian tetap diberikan seperti biasa.

Ismail berkata, sehingga kini seramai 1.87 juta penuntut membuat pinjaman dengan PTPTN membabitkan peruntukan RM41.6 bilion.