ALOR SETAR, 3 Nov: Seperti tahun sebelumnya, kerajaan negeri meneruskan tradisi pengagihan lembu korban ke seluruh Kedah untuk dijadikan ibadah sempena Aidiladha nanti.
Keseluruhan lembu yang diagihkan adalah sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu PKNK sebanyak 130 ekor, Kumpulan Ladang (30), BDB (30), PMBKed (28), Yayasan Islam Negeri Kedah (20), Yiked Holding (20) dan syarikat-syarikat lain. Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul hadir mewakili Menteri Besar untuk menerima sumbangan dari GLC terbabit di Stadium Sultan Abdul Halim, dekat sini. (Gambar: Taulan menyerahkan replika lembu korban kepada wakil Dun Tanjung Dawai.)
Beliau kemudiannya mengagihkannya itu kepada kesemua wakil-wakil rakyat, agensi-agensi negeri dan persekutuan dan sekolah-sekolah agama rakyat yang bertanggungjawab melaksanakan ibadah tersebut pada hari raya korban nanti.
Taulan yang membacakan teks ucapan Menteri Besar berkata, sumbangan lembu untuk dijadikan ibadah korban ini adalah penghargaan dan tanda kasih sayang kerajaan kepada rakyat di negeri ini.
"Pemberian daripada syarikat yang terlibat merupakan salah satu usaha melangkah ke hadapan dalam membantu golongan yang memerlukan dan usaha ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa.
"Sumbangan ini adalah hadiah untuk rakyat negeri Kedah agar mereka dapat melaksanakan ibadah korban yang menjadi simbol ketakwaan orang-orang yang beriman," katanya.
Turut hadir ialah Speaker Dun Kedah, Datuk Dr Isa Ismail, Timbalan Speaker, Ustaz Ahmad Izzat Shauki, exco-exco Kerajaan Negeri Kedah dan wakil-wakil rakyat yang lain. |