Selasa, 4 Oktober 2011



BAJET ALTERNATIF : PAKATAN TAWAR GAJI MINIMUM RM 1,100 &
KUALA LUMPUR, 4 Okt — Sementara pentadbiran Najib sedang membincangkan kadar gaji minimum untuk dilaksanakan akhir tahun ini, Pakatan Rakyat hari ini menawarkan RM1,100 sebagai gaji minimum tenaga kerja negara ini.
“Gaji minimum akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan mengguna pakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minimum sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan,” kata Pakatan Rakyat yang mengumumkan bajet alternatif 2012 hari ini.
Pakatan Rakyat juga menegaskan kemelut tuntutan gaji minimum yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah.
“Kuasa untuk menentukan gaji minimum terus dipusatkan di tangan menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minimum,” katanya lagi.
Pakatan Rakyat mengumumkan belanjawan mereka sementara kerajaan Barisan Nasional akan berbuat demikian Jumaat ini.
Pakatan Rakyat berkata pengenalan gaji minimum dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100.
Selain itu katanya, tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minimum dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing.
Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesyorkan gaji minimum RM1,500 sebulan.
Kementerian Sumber Manusia mengumumkan pelantikan anggota Majlis Perundingan Gaji Negara minggu lalu.
Seiring dengan pengumuman itu, Pakatan Rakyat juga mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga.
“Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minimum dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion.
“Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan mengguna pakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan,” katanya lagi.
CUEPACS HARAP BONUS 2 BULAN GAJI
Dalam perkembangan lain, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman(gambar atas) berharap beberapa tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan akan diluluskan dalam pembentangan Belanjawan 2012, Jumaat ini."Berita gembira kepada kakitangan kerajaan ini tidak mustahil dan kita telah menanti sekian lama. Kita faham kalau dahulu tidak dapat laksanakan (tuntuan) kerana faktor ekonomi semasa."Tapi kini tiada apa yang menghalang tuntutan itu diluluskan memandangkan ekonomi bertambah baik dan tuntutan ini pun untuk menaikkan taraf perkhidmatan penjawat awam untuk keluar daripada beban kewangan selain meningkatkan mutu perkhidmatan," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.Tuntutan berkenaan adalah semakan semula Sistem Saraan Malaysia (SSM), menaikkan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).Omar berkata tuntutan ini hanya cadangan sahaja dan tertakluk kepada kemampuan kerajaan untuk meluluskannya. -Sumber Bernama