Ahad, 7 Ogos 2011

MAHKAMAH ARAH KHIR TOYO BELA DIRI

SHAH ALAM, 8 Ogos: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo diarah membela diri terhadap tuduhan melakukan rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, empat tahun lepas.Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat kes prima facie.Mohtaruddin kemudian menetapkan 26 hingga 30 Sept ini untuk pembelaan yang dijangka mengemukakan sembilan saksi, lapor Bernama.Dr Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.Dr Mohamad Khir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.Pada prosiding hari ini barisan pendakwaan dan pembelaan masing-masing diketuai Abdul Wahab Mohamad dan M.Athimulan.