Selasa, 2 Ogos 2011



ISU KETUA PENGARAH JKR : JUDIN TERIMA JAWATAN CEO CIDB, GRED TINGGI





KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Isu dua ketua pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai semalam ekoran keputusan Putrajaya akhirnya menawarkan Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim gred dan gaji lebih tinggi untuk dipinjamkan di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai ketua pegawai eksekutif.
Keputusan itu berkuat kuasa semalam.
Judin (gambar) yang sebelum ini ketua pengarah JKR dengan Gred Jusa A dinaikkan ke Gred Utama Turus II. Lazimnya, Ketua Eksekutif CIDB ditawarkan Gred Jusa A.
Berikutan kompromi itu, Judin mengesahkan beliau akan menarik balik saman yang difailkan terhadap kerajaan tiga minggu lalu, lapor Berita Harian hari ini.
Difahamkan gred yang ditawarkan itu juga lebih tinggi daripada beberapa Ketua Setiausaha di beberapa kementerian.
CIDB membuat tawaran itu menerusi surat kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bertarikh 22 Julai dan tempoh pinjaman bermula semalam sehingga tarikh akhir persaraan wajib Judin pada 16 Disember 2013.
Abu Bakar menandatangani surat penerimaan oleh Judin semalam.
Oleh itu kata Abu Bakar, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bersetuju meluluskan tawaran CIDB dengan gred itu kepada Judin.
“Tanggungjawab besar menanti beliau di CIDB dan kita yakin pengalamannya membolehkan beliau memikul tugas baru ini dengan baik dan berkesan,” katanya.
Kemelut jawatan Ketua Pengarah Kerja Raya timbul apabila Judin dipinjamkan ke CIDB dan tempatnya digantikan Timbalan Ketua Pengarah II, Datuk Mohd Noor Yaacob pada 1 Mei lalu.
Bagaimanapun Judin tidak mengosongkan pejabat walaupun Mohd Noor sudah menjalankan tugas sehingga menimbulkan kontroversi.
Judin melaporkan diri di CIDB kira-kira pukul 3.40 petang semalam.
Judin memberitahu gembira kerana kemelut itu sudah berakhir dan percaya ia tidak akan menjejaskan tugas barunya.
“Hari ini, saya terima tawaran itu dan diarahkan untuk bertugas serta-merta. Saya turut ditawarkan dengan gaji baru ke Gred Utama Turus II.
“Saya anggap perkara ini sudah selesai. Fokus saya kini hanya memajukan industri pembinaan yang dapat memberi pulangan lumayan kepada negara,” katanya.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar di Dewan Rakyat awal Jun lalu, menyifatkan pelantikan ketua pengarah baru JKR dan keputusan menghantar Judin ke CIDB bercanggah dengan peraturan perkhidmatan awam.
Kata beliau, perkara itu tidak pernah berlaku dalam perkhidmatan awam negara ini.