JADIKAN KOMEN DAN TEGURAN SEBAGAI RAMUAN UNTUK MEMATANGKAN PAS
SUNGAI SIPUT: April, 21- Tidak dapat dinafikan bahawa Parti Islam Semalaysia (PAS) telah berjaya meletakkan imej dan dasar perjuangannya ialah Islam di persada antarabangsa. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari'ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
Selain itu, PAS juga menyeru ahli-ahlinya agar memupuk dan memperkuatkan ukhwah Islamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum bagi memelihara kehidupan yang harmoni serta mengamalkan cara berpolitik yang sihat. Oleh kerana PAS adalah menjadi salah sebuah parti komponen Pakatan Rakyat yang terbesar dan mempunyai bilangan ahli yang ramai, maka sudah tentu kejayaan dan kelemahannya sentiasa diperhati dan diteropong oleh rata-rata rakyat yang ingin melihat parti Islam itu berjaya.
Setiap komen ,dan teguran yang dibuat oleh mana-mana individu atau organisasi hendaklah diterima dengan berlapang dada dengan hati yang terbuka.Sebagai saorang ahli politik, kita sepatutnya tidak mudah melatah dan melenting dengan setiap teguran dan komen yang dibuat . Kita sepatutnya hendaklah selalu bermuhasabah dan memperkasakan diri dan parti ketahap yang lebih baik jika sekiranya teguran dan komen itu didapati benar. Tetapi jika sekiranya komen dan teguran itu sengaja disensasikan bertujuan sengaja hendak menjatuhkan mana-mana pihak, maka hendaklah diulas dan dijawab dalam bahasa yang baik dan berhemah. Janganlah sampai kita mengherdik dan mengeluarkan kata-kata yang kesat yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
Perlu diingat bahawa orang yang menegur dan membuat komen itu bukanlah mengganggap dirinya terlalu hebat... begitu juga keadaannya orang yang kena tegur itu bukanlah dianggap terlalu lemah. Janganlah kita asyik melayan komen dan teguran yang dibuat oleh mana-mana pihak sehingga kita lupa menjalankan amanah sebenar yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Hentikan setakat ini dan janganlah dibiarkan ia berlarutan sehingga menjadi satu isu besar. Tidak siapa yang untung , yang pasti musuh-musuh politik kita bertepuk tangan diluar gelanggang.